Hudud bukan tuntutan UMNO

ADUN BN Kemelah, Dato Ayub Rahmat telah membuat saranan yang baik apabila dia mencadangkan supaya hudud dikuatkuasakan.

Kira-kira apa yang dinyatakannya di DUN Johor itu diterima Allah sebagai ibadat dan mendapat pahala. Dia sudah ada niat yang baik. Setiap orang Islam yang berniat baik telah dapat satu pahala. Jika niat itu dilaksanakan dia dapat satu pahala lagi. Jika niat itu tidak dilaksanakannya, pahala niat tadi kekal.

Saranan Dato Ayub itu tidak memberi apa-apa makna apabila ia disampaikan disalurkan melalui UMNO kerana hudud bukan satu tuntutan bagi UMNO.

Sejak UMNO ditubuhkan oleh Dato Onn Jaafar dulu sudah meminggirkan semua tuntutan Islam, dan itulah sebabnya sekumpulan ulama UMNO masa itu keluar menubuhkan PAS.

Apabila kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu meluluskan enakman jenayah syariah yang didalamnya ada hudud, kerajaan pusat pimpinan UMNO tidak memberi laluan bagi dilaksanakan.

UMNO menolak enakman itu atas dalih ia bukan hudud yang al-Quran anjurkan tetapi ia adalah hudud PAS.

UMNO mendakwa ia tidak menentang hudud yang Allah tuntut supaya dilaksanakan. Kononnya UMNO juga beriman dengan hudud. Tetapi ia tidak pernah mengambil apa-apa langkah untuk mendaulatkan undang-undang itu.

Iman UMNO terhadap hudud sekadar menyatakan ia menerima ketentuan Allah itu tetapi tidak percadang untuk melaksanakannya. Imannya itu samalah seperti seorang Islam yang mengaku solat dan puasa itu wajib tetapi tidak pernah solat dan puasa.

Iman seperti inilah yang digambarkan apabila ditanya Allah di akhirat nanti, adakah kamu beriman? Jawabnya, ya. Dia beriman. Allah kata, ‘Kamu bohong. Sebenarnya kamu tidak beriman.’

Dato Ayub telah menyampaikan saranan yang betul supaya Malaysia melaksasnakan hudud. Kalau Malaysia belum berhajat, ia boleh dimulakan di Johor.

Adapun hudud yang dicadangkannya itu bukanlah seperti hudud yang PAS luluskan di Kelantan dan Terengganu itu kerana enakman yang diluluskan untuk dilaksanakan terhadap orang Islam saja. Yang Dato Ayub cadangkan itu adalah meliputi rakyat semua kaum dan agama.

Justeru tidak meliputi semua penduduk itulah maka diloyar buruk UMNO ia adalah hudud PAS.

Tidak waham lagi Dato Ayub ikhlas dan suci hatinya mahu hukum itu didaulatkan. Tetapi ia dicadangkannya melalui kerajaan UMNO yang tidak ada niat untuk menunaikannya. Bahkan UMNO bukanlah parti politik yang mahu memperjuangkannya.

Yang memperjuangkannya adalah PAS. Setiapa juga yang mahu ia didaulatkan, maka ia mesti bersama PAS. Penyertaan beramai bersama PAS, menambah kekuatan PAS untuk terus memperjuangkannya.

Apa yang Dato Ayub buat itu seperti mencurah air ke daun keladi. Air tidak lekat di daun. Ia jatuh ke pasir. Hilang kering begitu saja. Tetapi jika salurkan melalui PAS, ia ibarat mencurah air ke baldi. Mungkin ia belum cukup, tetapi ia menambah air yang sudah di baldi itu. Cukup masanya nanti ia akan penuh.

Tidak pasti adakah Dato Ayub sudah membuat cadangan itu melalui UMNO sebelum disuarakannya di DUN Johor? Apa dia telah buat dalam UMNO untuk menggerakkan UMNO mendaulatkannya?

Adakah dia sudah ajak ahli-ahli UMNO di cawangannya dan di bahagiannya untuk tindakan? Jika ia belum dibuat, dia kena buat di peringkat itu dulu. UMNO yang lebih tinggi tiada peduli tuntutan itu.

Jika Dato Ayub suarakan itu kepada ahli UMNO kampong dan di cawangannya mereka akan kata dia sudah mamai. Mereka akan kata kepadanya, ‘Kalau laksana hudud, YB mesti masuk PAS.’ Hal itu tidak ada dalam UMNO. Ia ada pada PAS saja.

Tun Musa Hitam semasa jadi Timbalan Presiden UMNO ketika merasmi Perhimpunan Agung Pemuda UMNO yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim berkata kira-kira, UMNO bukan parti yang memperjuangkan tauhid.

Dato Ayub telah menyertai parti yang silap dan ia tidak mampu berbuat apa-apa untuk melaksanakan saranannya melalui UMNO. Dato Ayub tidaklah sepintar Anwar untuk mengubah UMNO dari dalam. Ubahlah dari luar!

No comments:

Post a Comment