Majoriti 2/3 di Kelantan mampu dipertahan kata PAS

Walaupun tarikh pilihan raya umum (PRU) ke 13 masih lagi menjadi tanda tanya, PAS Kelantan tetap yakin mampu mempertahankan penguasaan majoriti dua pertiga mereka di negeri tersebut, kata Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, ahli mesyuarat negeri Kelantan (Exco).

Keyakinan itu berdasarkan usaha yang dilaksanakan kerajaan PAS kelantan untuk kesejahteraan rakyat selain tiada isu besar yang mampu menggugat pemerintahan menteri besar (MB), Datuk Nik Aziz Nik Mat, kata Mohd Amar yang juga Timbalan Pusurujaya III PAS negeri tersebut.

Walaubagaimanapun, Mohd Amar enggan mendedahkan jumlah kerusi yang disasarkan dengan menyifatkan ia sebagai rahsia parti.

“Setakat ini Insya-Allah berdasarkan kajian dan usaha-usaha yang kita buat, kita yakin boleh mempertahankan Kelantan. Paling kurang kita boleh menang dua pertiga kerusi ada dalam tangan,” katanya kepada seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian.

Exco Kelantan itu berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed yang mengakui menghadapi saingan hebat daripada PAS untuk merampas negeri ini pada pilihan raya akan datang.

Mustafa mengakui kesukaran tersebut disebabkan faktor PAS yang telah memerintah Kelantan selama 22 tahun.

Mohd Amar berkata, kenyataan Mustapa tersebut menunjukkan Umno Kelantan realistik kerana menyedari berhadapan masalah besar untuk merampas negeri Kelantan daripada PAS.

“Saya berterima kasih kepada ‘Tok Pa’ (Mustapa) yang bercakap secara objektif dan realistik mengaku ada masalah-masalah yang dihadapi sebab selama ini dia (Mustapa) seolah-olah boleh ambil Kelantan dengan mudah,” katanya.

Walaubagaimanapun, Mohd Amar tidak menolak agar PAS terus berkerja keras bagi memastikan tidak ada satu kerusi pun yang akan terlepas kepada pihak lawan.

“Usaha kita untuk mempertahankan apa yang ada, sekurang-kurangnya mempertahankan kerusi yang kita menangi sebab kita tidak hendak terlepas, itu asas sekarang. Kalau dapat lebih kerusi pun tidak apa, lagi baik,” katanya.

PAS Kelantan berjaya menawan 38 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dari 45 kerusi Dun, manakala Barisan Nasional (BN) hanya memenangi enam kerusi Dun dengan satu kerusi tambahan apabila memenangi pilihan raya kecil (PRK) Dun Galas.

Bagi kerusi Parlimen pula, PAS berjaya merampas sembilan kerusi dari 14 kerusi Parlimen, manakala BN hanya memenangi dua kerusi Parlimen.

No comments:

Post a Comment