Rakyat perlu bijak dan serius dalam memilih pemimpin untuk mentadbir negara bagi memastikan struktur pemerintahan yang diamalkan sejak 55 tahun lepas dapat dikekalkan.
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata sistem pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah yang terbaik kerana mengamalkan konsep perkongsian melibatkan setiap kaum dan etnik dalam membangunkan negara.
"Keamanan dan kesejahteraan yang dikecapi sekarang adalah hasil sikap yang ada pada rakyat berbilang kaum... kesanggupan untuk tidak bermusuh. Pemimpin terdahulu pun mengamalkan perkongsian secara adil, dan memerintah negara ini bersama-sama supaya semua pihak akan mendapat hak masing-masing.
"Negara kita mewarisi sistem pentadbiran yang dicipta Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman bersama-sama Tun Tan Cheng Lock dan Tun V.T Sambanthan. Kita membangunkan negara ini bersama-sama.
"Ini adalah satu pendekatan yang cukup baik," katanya ketika berucap di majlis makan malam bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) anjuran Persatuan Kemajuan Insan Malaysia dan Pertubuhan Pembangunan Kaum India Pulau Pinang malam tadi.
Beliau berkata sekiranya negara gagal mencapai kesepakatan antara kaum, tidak mustahil akan berlaku huru-hara dan persengketaan di dalam negara.
Dr Mahathir juga berkata BN adalah sebuah parti yang mengamalkan kerjasama secara holistik untuk membela setiap kepentingan kaum, dan menyifatkan pakatan pembangkang hanya bermatlamatkan kemenangan dalam pilihan raya.
"Parti BN ini bukan parti yang hanya mendapatkan undi sahaja, dan kita tiada pilihan lain kerana kita hanya ada dua parti dalam negara. Kalau kita tolak BN, maka parti lawan akan menang, dan mereka ini akan merosakkan negara kita," katanya.
Beliau turut menggesa setiap pucuk pimpinan parti bersedia memberi teguran kepada pemimpin yang gagal menunjukkan prestasi yang baik, dan pada masa yang sama, pemimpin itu perlu berlapang dada menerima setiap nasihat yang diberikan.
"Kalau kita asyik puji pemimpin kita, nanti pemikiran dia rosak. Kalau kita ada sistem pemerintahan yang baik sekali pun, kalau prestasi pemimpin kurang bagus tiada gunanya. Bila dia buat sesuatu yang salah, tegur dia... jangan takut," katanya.
Terdahulu, anggota NGO yang hadir turut meraikan ulangtahun ke-87 Dr Mahathir yang jatuh pada tanggal 10 Julai.
No comments:
Post a Comment