SPRM sahkan saya bersih kata Shahrizat

Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil berkata, segala tohmahan pembangkang yang cuba mengaitkan dirinya dengan skandal National Feedlot Corporation (NFC) Sdn Bhd ternyata sia-sia apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan beliau tidak terlibat.

NFC adalah projek 'Lembah Daging' di Gemas, Negeri Sembilan yang bertujuan meningkatkan pengeluaran daging tempatan dan mengurangkan penggantungan negara terhadap pengimportan daging.

Ketua Pergerakan Wanita Umno itu berkata, tindakan untuk mengheret beliau ke dalam kontroversi tersebut juga hanyalah retorik pembangkang yang cuba menjatuhkan karier politiknya.

"Saya juga bersyukur kerana masih diberi kepercayaan dan mendapat sokongan padu Wanita Umno yang nyata tidak terjejas dengan tuduhan yang dibuat oleh pembangkang.

"Saya akan terus memperjuangkan parti selagi saya memegang jawatan ini sehingga tamat penggal," katanya kepada pemberita selepas Program Pemantapan Jentera Jalinan Rakyat Pergerakan Wanita Umno Terengganu, yang dihadiri
kira-kira 1,000 wakil dari seluruh daerah di sini, hari ini.

"Sepanjang tempoh itu (dikaitkan dengan skandal NFC) ia merupakan detik yang perit, tetapi saya dapat buktikan yang saya masih lagi berdiri di sini (selaku Ketua Wanita) kerana sokongan yang diberikan oleh parti," katanya.

Shahrizat juga melihat isu yang dikaitkan dengan beliau itu dilakukan semata-mata untuk menutup masalah dalaman yang berlaku dalam pakatan pembangkang sendiri.

SPRM pada 31 Mei lepas mendapati Shahrizat tidak terbabit dalam proses perolehan pinjaman RM250 juta daripada kerajaan Persekutuan kepada NFC, syarikat yang dimiliki suami dan anaknya.

Pengerusi Panel Penilaian Operasi SPRM Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil berkata ini bermakna Ketua Wanita Umno itu tidak terlibat langsung dalam proses perolehan pinjaman oleh Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, yang juga pengerusi
NFC.

Suaminya kini berdepan perbicaraan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan pecah amanah melibatkan wang RM49.7 juta, dan dua pertuduhan melanggar Akta Syarikat 1965. Perbicaraan kes itu akan bermula 5 November ini.

1 comment:

  1. Baguslah sharizat oooiiii...memang kamu bersih kerana dihakimi oleh bapak segala penipu...insyaallah mahkamah Allah di yaumulmahshar nanti...lihatlah betapa bersihnya kamu sharizat...mentekedarah duit rakyat mengaku bersih.

    ReplyDelete