Najib tak terperanjat Lajim letak jawatan parti

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kedudukan Datuk Lajim Ukim sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan diputuskan Isnin ini.

Perdana Menteri berkata keputusan Lajim melepaskan jawatannya sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan Pengerusi BN Bahagian Beaufort adalah sesuatu yang telah dijangkakan oleh beliau dan parti.

"Keputusan beliau itu sudah dijangkakan akan berlaku kerana tindakan dan ucapan beliau yang bertentangan dengan dasar parti sebelum ini.

"Saya tidak terperanjat dengan keputusan itu kerana tiada sesiapa yang lebih besar dari parti melainkan kesetiaan.

"Kita terima hakikat di antara kita ada yang berbeza pendapat tetapi boleh diselesaikan dengan saluran yang betul sama ada cepat atau lambat," katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Tarawih di Masjid Ubudiah Kampung Mambang, Chini di Pekan pada malam tadi.

Najib berkata dalam sejarah parti peletakan jawatan seumpama itu bukanlah sesuatu yang baru kerana pengasas parti, Datuk Onn Jaafar pernah bertindak demikian.

"Namun, sebagai parti yang berpengalaman kita mampu menghadapi cabaran itu," katanya.

Lajim semalam mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli MT Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan pengerusi BN Beaufort berkuatkuasa serta-merta.

No comments:

Post a Comment