Beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu menyokong penuh usaha Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) Terengganu yang bersedia menganjurkan debat atau dialog terbuka antara wakil kerajaan dengan pembangkang di negeri ini.
Amanah Terengganu menawarkan diri sebagai orang tengah bagi pertemuan langsung antara Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dengan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut.
Harakahdaily turut mendapat reaksi positif dari beberapa NGO di negeri ini yang menyatakan sokongan serta mengalu-alukan majlis debat atau dialog terbuka itu.
Setiausaha Persatuan Anak-Anak Terengganu di Perantauan (Perantau), Suhaimi Embong berkata pihaknya menyokong penuh serta bersedia memberi kerjasama bagi menjayakan program debat tersebut.
Katanya, rakyat Terengganu termasuk yang berada di perantauan sentiasa mengikuti perkembangan semasa yang berlaku di negeri ini di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Kita (Perantau) antara NGO pertama yang menyokong usaha Amanah Terengganu untuk pertemukan antara Datuk Seri Ahmad Said dengan Mohd Abdul Wahid Endut.
“Perantau sentiasa ikut perkembangan politik di negeri ini dan banyak isu-isu berbangkit yang rakyat perlukan penjelasan dan pengesahan kerajaan Terengganu,” ujarnya.
Menurutnya, debat atau dialog terbuka wajar diadakan agar rakyat secara langsung boleh menilai antara kedua-dua parti sebelum memilih pada pilihan raya umum kelak.
Kata Suhaimi, pihak kerajaan atau pembangkang tidak perlu menolak cadangan tersebut demi kepentingan rakyat dan negeri.
Pengerusi Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat), Mohamad Fauzi Abu Samah mengalu-alukan cadangan tersebut bagi kepentingan rakyat.
Katanya, cadangan debat atau dialog terbuka antara dua pemimpin parti tersebut amat baik bagi mencari penyelesaian masalah rakyat dan negeri.
“Kami dari Mampat sangat bersetuju dan mengalu-alukan. Bahkan, sedia memberi kerjasama untuk menjayakan agenda pertemuan antara dua pemimpin Melayu Islam.
“Debat itu bukan untuk cari kelemahan tetapi untuk cari penyelesaian masalah rakyat, masalah negeri supaya lebih baik dan terjamin.
“Abdul Wahid (PAS) kena terima teguran Ahmad Said (Umno) jika ada cadangan, teguran dan kritikan yang baik untuk agama, rakyat dan negeri. Begitulah sebaliknya,” tegas beliau.
Menurutnya, Mampat sangat berharap agar pihak kerajaan atau pembangkang tersebut tidak menolak cadangan debat berkenaan.
Pengerusi Yayasan Kebajikan dan Pendidikan Negeri Terengganu (Yakep), Ustaz Abu Bakar Abdullah menyifatkan isu debat antara dua pemimpin kerajaan (Umno) dengan pembangkang (PAS) bukan baru.
“Abdul Wahid telah acap kali ajak Ahmad berdebat dalam isu-isu yang berlaku di negeri Terengganu ini. Tapi, tidak pernah disahut cabaran (debat) itu.
“Kita (Yakep) mahu lihat debat secara ilmiah, dialog secara terbuka di hadapan rakyat untuk dinilai dan cari jalan penyelesaian,” ujarnya.
Menurutnya, isu-isu berbangkit yang secara langsung melibatkan rakyat, harta negeri dan urus tadbir lemah perlu dijelaskan kepada rakyat.
Presiden Lepasan Siswa-siswi Institut Berakan (Sisbakti), Mohd Syaiful Ambia Darusa mahukan kedua-dua pemimpin politik tersebut bersifat ‘gentleman’ berhadapan dengan rakyat.
Katanya, terlalu banyak isu-isu di negeri ini yang melibatkan kepentingan rakyat serta perlukan penjelasan pihak berkuasa.
“Debat ini bagus, rakyat boleh dapat penjelasan secara langsung dari isu-isu yang berlaku di negeri ini. Isu royalti, isu bumbung stadium runtuh, isu kemiskinan, isu diskriminasi, isu tanah rakyat, pembaziran, salahguna kuasa dan banyak isu yang belum selesai,” jelasnya.
Menurutnya, jika ada mana-mana pihak yang menolak debat atau dialog terbuka itu bermakna tidak berani menghadapi kenyataan.
No comments:
Post a Comment