DAP bertanding tak lebih 60 kerusi parlimen

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata parti itu tidak mungkin bertanding 90 daripada 222 kerusi parlimen dalam pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, walaupun pembahagian kerusi belum selesai, DAP hanya akan meletakkan tidak melebihi 60 calon bagi kerusi itu, lapor Sinar Harian.

"Kalau DAP bertanding 90 kawasan parlimen, anda akan dilantik sekali lagi untuk menjadi calon kami," katanya dengan nada bergurau kepada wartawan akhbar berkenaan semalam.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia yang memetik blog suarapakatanrakyat yang mendakwa DAP akan bertanding 90 kerusi parlimen, manakala PKR dan PAS masing-masing sebanyak 66 kerusi.

Lim yang juga ahli ketua menteri Pulau Pinang berkata DAP sedang menyediakan senarai pendek nama calon parti itu dan ia akan diputuskan oleh tiga ahli jawatankuasa parti dalam masa yang sesuai.

Diminta mengulas kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dilapor berkata parti itu "paling kuat" dalam Pakatan Rakyat, Lim berkata ketiga-tiga parti perlu kuat bagi memenangi pilihan raya umum sekali gus menawan Putrajaya.

"Kalau Pakatan Rakyat nak menang, kita tidak boleh bergantung kepada PAS sahaja yang kuat. Kalau satu parti sahaja yang kuat, belum tentu Pakatan akan menang. Apa yang penting, sokongan rakyat kepada Pakatan," katanya.

No comments:

Post a Comment