Pertambahan bajet sebanyak RM360 juta untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di dalam peruntukan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2012) disifatkan tidak masuk akal, tegas Ahli Dewan Negara Pakatan Rakyat.
Senator Dr Syed Husin Ali berkata, kos tambahan untuk pilihan raya hampir setengah billion yang diluluskan merupakan kos yang paling tinggi setakat ini.
Katanya, bajet awal yang dikemukakan sebelum ini adalah RM45 juta kemudian ditambah sebanyak RM360 juta bagi persediaan dan pengendalian pilihan raya umum nanti.
"Jadi peruntukan ini sebanyak RM405 juta.Tidak masuk akal! Jumlah yang besar tetapi belum tentu memberi jaminan pilihan raya yang adil dan bersih," katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen hari ini.
Katanya, persediaan yang baik salah satu perkara utama untuk memastikan pilihan raya berjalan dengan licin dan diterima rakyat khususnya daftar pemilih.
"Banyak persoalan yang telah ditimbulkan dalam soal ini dan saya rasa kita tidak boleh mengenepikannya umpamanya sindrom menafikan.
"Kita mahu bila berlaku pilihan raya, rakyat betul-betul percaya akhirnya dunia menghormati keputusan itu, " katanya yang turut membangkitkan perkara ini dalam perbahasan Perbekalan Tambahan semalam.
No comments:
Post a Comment