Adakah Umno Johor sokong Abdul Ghani dilantik sebagai senator?

Bukan sahaja pemimpin Umno BN diam membisu terhadap cadangan Lim Kit Siang bahawa bekas Menteri Besar Johor empat penggal, Datuk Abdul Ghani Othman sepatutnya dianugerahkan dengan jawatan kanan kerajaan, tetapi seperti terdapat penolakan rasmi apabila Mubarak, pertubuhan bekas-bekas Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional, mengisytiharkan mereka yang kalah dalam pilihan raya umum kali ini tidak sepatutnya dilantik menjadi senator atau menteri.

“Presiden Mubarak, Tan Sri Abdul Aziz Rahman sudah tentu merujuk kepada Ghani kerana saya secara khusus telah mencadangkan Ghani, selepas mempertimbangkan sumbangan dan pengalamannya di Johor, sepatutnya dilantik sebagai Senator dan dijadikan menteri, dan jawatan Kabinet yang sesuai untuknya ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab dalam Unit Perancangan Ekonomi, menggantikan Nor Mohamad Yakcop,” kata Lim Kit Siang.

Kit Siang berkata, penolakan tersurat kepada cadangan menjadikan Abdul Ghani sebagai senator dan pelantikannya sebagai menteri telah mengesahkan apa yang disyaki selama ini bahawa beliau adalah mangsa perebutan kuasa di dalam Umno, terutamanya di Johor.

“Dan Ghani dipaksa untuk bertanding di Gelang Patah bagi menamatkan karier politiknya sekiranya beliau gagal, meminjam kata-kata Tun Mahathir, menjadikan gelang patah ‘kubur’ saya,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Kesyukuran PRU13 di Taman Puteri Utama, di sini petang tadi.

Bagi Kit Siang, pertempuran Gelang Patah tidak pernah menjadi pertempuran peribadi antara Abdul Ghani dan beliau memandangkan beliau telah secara terbuka mengakui sumbangannya untuk membangunkan dan memajukan Johor sepanjang 18 tahun menjadi Menteri Besar.

“Itulah sebabnya saya mencadangkan Ghani, walaupun beliau kalah di Gelang Patah, boleh terus berkhidmat untuk negara dengan melantiknya sebagai Senator dan Menteri, kerana pertempuran Gelang Patah tidak sepatutnya dianggap sebagai pertempuran kalah mati yang mana Ghani perlu menamatkan karier politiknya meskipun tewas di Gelang Patah,” ujarnya lagi.

Nampaknya, kata Kit Siang di dalam DAP dan Pakatan Rakyat lebih bersedia memperakui bakat tanpa mengira parti namun Umno BN tidak begitu.

Justeru, beliau tidak faham atau bersetuju dengan sikap bahawa Abdul Ghani sepatutnya diketepikan hanya kerana kekalahannya di Gelang Patah.

Beliau juga menyeru Umno Johor, semua bahagian dan cawangannya, termasuklah pemimpin Umno Johor, untuk mengisytiharkan apakah mereka menyokong Abdul Ghani untuk dilantik sebagai senator supaya boleh menjadi menteri yang bertanggungjawab terhadap Unit Perancangan Ekonomi.

“Beranikah MCA Johor memberikan sebarang pandangan tentang Ghani ini?” tanya beliau.