Hadi Awang minta Nik Aziz kekal pesuruhjaya PAS Kelantan

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta bekas menteri besar Kelantan dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat terus kekal memegang jawatan pesuruhjaya PAS negeri itu seperti biasa.

Abdul Hadi berkata hasrat itu disampaikannya kepada Nik Aziz dalam pertemuan tertutup di kediaman rasmi di JKR 10, Kota Bharu pagi ini, lapor portal berita Harakahdaily.

Dalam laporan itu, Abdul Hadi berkata perjuangan PAS khususnya di Kelantan masih memerlukan idea serta pandangan Nik Aziz sebagai seorang yang mempunyai ilmu agama.

Sebelum ini Nik Aziz dilapor bersedia melepaskan jawatan pesuruhjaya PAS Kelantan selepas berundur sebagai menteri besar pada 6 Mei lalu dan mahu ia diserahkan kepada Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

Menurut Nik Aziz, kedua-dua jawatan tersebut wajar dipegang oleh Ahmad dan berpendapat jawatan tersebut tidak boleh disandang oleh orang berlainan.

Portal berita itu juga melaporkan Abdul Hadi sebagai menasihatkan Nik Aziz supaya menggunakan ruang masa yang ada untuk menjaga kesihatan, selepas melepaskan jawatan menteri besar.

"Kena banyak rehat. Insya-Allah kerana perjuangan Islam ini memerlukan orang sepertinya," kata Abdul Hadi.

Pertemuan secara tertutup itu turut dihadiri isteri Abdul Hadi, Toh Puan Seri Zainab.