Datuk Seri Najib Razak akan terus kekal sebagai Menteri Kewangan, dan Ketua Pegawai Eksekutif Malayan Banking Berhad Datuk Seri Abdul Wahid Omar akan dijadikan menteri untuk menguruskan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dalam Kabinet baru yang akan diumumkan hari ini, kata sumber Barisan Nasional (BN).
Sehingga lewat malam tadi, Najib dan pasukannya masih membuat perubahan dalam senarai tersebut akan tetapi The Malaysian Insider difahamkan, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dijangkakan akan diberikan jawatan Kabinet.
Terdapat juga cakap-cakap beberapa ahli Parlimen MCA akan mengambil jawatan di kementerian Pengangkutan dan Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam Kabinet tetapi ini masih belum disahkan.
MCA hanya memenangi tujuh daripada 37 kerusi Parlimen ditandingi, telah berikrar untuk tidak mengambil sebarang jawatan Kabinet sekiranya mereka mendapat kerusi berkurangan pada pilihan raya 5 Mei, berbanding 15 mereka perolehi pada Pilihan Raya 2008.
Difahamkan Najib telah mengadakan mesyuarat dengan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek semalam berhubung isu tersebut.
Sementara Kabinet baru juga akan menyaksikan Datuk Seri Mustapa Mohamed akan dijadikan Menteri Kewangan II, kata sumber BN.
Diantara yang tersenarai dalam Kabinet adalah bekas menteri besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Pelajaran sementara Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipindahkan ke Kementerian Pelancongan.
Sumber Umno sebelum ini mengatakan Zahid akan kekal di Kementerian Pertahanan sementara seorang lagi Naib Presiden Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkemungkinan besar akan kekal sebagai Menteri Dalam Negeri.
Difahamkan juga Datuk Noriah Kasnon akan dilantik menjadi menteri wanita dan pembangunan masyarakat. Ahli Parlimen Sungai Besar itu merupakan ahli Exco Wanita Umno dan timbalan menteri di kementerian tersebut sejak tahun lalu.
Difahamkan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan akan dijadikan menteri.
Dua ahli Parlimen MIC, presiden parti Datuk Seri G Palanivel dan timbalannya Datuk Seri S Subramaniam akan turut menerima jawatan Kabinet, menurut sumber bilik perang BN.
Diantara ahli Parlimen Malaysia Timur yang dikatakan diberikan jawatan Kabinet adalah Datuk Seri Anifah Aman (Luar Negeri), Datuk Seri Peter Chin Fai Kui (Tenaga, Teknoloji Hijau dan Air), dan Douglas Unggah Embas (Sumber Asli dan Alam Sekitar).
Kedua-dua Anifah dan Chin telah berkhidmat sebagai menteri dalam Kabinet lalu walaupun Chin, yang juga merupakan presiden SUPP tidak bertanding dalam Pilihan Raya 2013.
Satu senarai yang dikatakan mempunyai 28 menteri untuk Kabinet baru Najib telah dimuat naik di sebuah blog lewat malam tadi akan tetapi masih belum disahkan sebagai senarai rasmi.
Agensi berita nasional Bernama melaporkan Najib akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah di Istana Negara, di sini, pada 12 tengah hari hari ini bagi mendapat perkenan terhadap cadangan pelantikan barisan Kabinet baru.
Menurut kenyataan Jabatan Perdana Menteri semalam, Baginda telah memperkenan Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai menteri dan timbalan menteri diadakan di Istana Negara, 9.30 pagi Khamis.