Kemenangan BN yang rapuh di Perak


BN mampu mengekalkan pentadbirannya di Perak apabila memenangi 31 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.

Namun kedudukan parti itu dilihat rapuh apabila situasi itu sama seperti kemenangan tipis Pakatan Rakyat pada 2008 sehingga berlaku peralihan kuasa apabila tiga ADUN gabungan itu keluar parti.

Pada 2008, walaupun kemenangan berpihak kepada Pakatan, tetapi ia terlepas kuasa apabila apabila wakil rakyatnya di Jelapang, Changkat Jering dan Behrang, menjadi ADUN bebas
yang mesra BN.

Kecuali Behrang, dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Pakatan berjaya merampas semula DUN Changkat Jering dan Jelapang.

Meskipun jauh kemungkinannya potensi untuk wakil rakyat BN melompat parti, namun kedudukan BN boleh tergugat jika berlaku pilihan raya kecil, khususnya di DUN yang dimenanginya dengan majoriti tipis.

Antara kerusi DUN BN yang dilihat goyah dengan majoriti tipis ialah Lubok Merbau (majoriti 53 undi), Manjoi (132), Pasir Panjang (304) dan Selama (619).

Seperti pada 2009, sebanyak 16 pilihan raya kecil diadakan di seluruh negara berikutan kematian wakil rakyatnya.

Bagaimanapun, dalam pilihan raya kali ini, terdapat perubahan pola pengundian serta pertambahan pengundi di beberapa buah kawasan yang dimenangi BN berbanding 2008,

lebih-lebih lagi di kerusi yang mempunyai 70 peratus pengundi Melayu.

Seperti di Manjoi dan Pasir Panjang, dalam masa lima tahun, pertambahan pengundi baru di dua kawasan itu naik mendadak. Di Manjoi, pertambahan pengundinya naik sehingga 36

peratus. Begitu juga Pasir Panjang, hampir 35 peratus pengundi baru bertambah- purata luar biasa bagi sebuah kawasan kampung.

Berbeza pada 2008, di Manjoi, pertambahan pengundi hanya tujuh peratus begitu juga di Pasir Panjang- yang dulunya merupakan kerusi PAS- hanya lapan peratus.

Purata biasa pertambahan pengundi baru bagi sesebuah negeri ialah sebanyak 19.6 peratus. Justeru, pemerhati berpendapat, dengan pertambahan pengundi baru yang begitu ketara

sehingga menimbulkan persoalan menjadi punca dua kawasan itu dimenangi BN dengan majoriti tipis.

Di Changkat Jong pula, antara punca kekalahan PAS di kerusi yang mempunyai 62 peratus pengundi Melayu itu ialah dengan pertambahan pengundi baru sebanyak 5,463.

Dengan jumlah majoriti undi yang meningkat berbanding 2008, hampir separuh daripada jumlah undi pengundi baru itu pergi kepada calon BN iaitu Mohd Azhar Jamaluddin

Selain pertambahan pengundi, BN juga mengalami peningkatan jumlah majoriti undi di kerusi yang mereka kekal menang iaitu di Kenering (dulu 2,798 kepada 8,216), Selama

(355-619), Kubu Gajah (66-1,085), Batu Kurau (2,439-3,834), Alor Pongsu (95-2,196), Trong (916-1,804), Chenderoh (1,039-1567), Belanja (1,887-2,963), Bota

(2,068-3,448), Kampong Gajah (1,416-6,100) dan Slim (3,526-3,853).

Dengan peningkatan jumlah majoriti itu, pemerhati berpendapat, di kawasan yang rata-ratanya bahagian utara Perak - majoriti Melayu ini, juga mempunyai pertambahan

pengundi dan menjadi salah satu faktor kejayaan BN mengekalkan kerusi-kerusi tersebut walaupun dengan majoriti tipis. MK