Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak digesa agar tidak terus berteka-teki mengenai tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan diminta segera membubarkan Parlimen.
Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR berkata, PKR di semua peringkat negeri dan akar umbi sudah bersiap sedia untuk menghadapi PRU13 dan menggesa Najib membuat kenyataan terbuka bahawa Umno sedia menerima kekalahan dalam PRU13.
“Kita minta Perdana Menteri hentikan teka-teki mengenai tarikh PRU13 ini dan segera bubarkan Parlimen kerana rakyat sudah bersedia untuk hadapi Pilihan Raya.
“Kita juga tidak mahu Umno teruskan budaya samseng seperti yang dilakukan sebelum ini dan Najib perlu bertanggungjawab membuat kenyataan terbuka bahawa Umno sedia terima kekalahandan hormati keputusan rakyat,” katanya.
Mohamed Azmin berkata, sebanyak 13 juta risalah yang mengandungi manifesto Pakatan Rakyat (PR) mengenai 13 isu rakyat turut diedar ke seluruh kawasan cabang PKR menerusi Kempen 1 Pengundi 1 Risalah.
“Selain pengedaran risalah ini, kita turut menggunakan sistem data berkomputer yang membolehkan kita mengesan pergerakan pengundi-pengundi hantu dari satu kawasan ke kawasan lain.
“Dengan adanya sistem ini akan dapat membantu kita menangani masalah pengundi hantu dengan lebih awal sebelum PRU berlangsung,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Pelepasan Konvoi Kempen Pilihan Raya PKR Peringkat Negeri Johor, di sini, semalam.
No comments:
Post a Comment