Pemimpin dan anggota badan bukan kerajaan (NGO) perlu keluar dari 'zon selesa' dan berani berfikir luar daripada jangkauan untuk terus memperkukuh dan menambah baik program anjuran mereka.
Ketika membuat saranan itu, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata NGO merupakan entiti masyarakat di peringkat akar umbi yang berhubung terus dengan rakyat tentang pelbagai isu dan cabaran.
"Dari semasa ke semasa, sama ada daripada segi keanggotaan mahupun program yang dijalankan, NGO perlu tersusun dan efisien dalam memenuhi tuntutan dan agenda semasa.
"Hanya melalui strategi sedemikian (keluar dari zon selesa dan berfikir luar daripada jangkauan) kita akan dapat mengangkat persatuan ke tahap lebih tinggi dan membanggakan," katanya semasa melancarkan Karnival Wanita India 1Malaysia anjuran Pertubuhan Rakyat Untuk Kesejahteraan, Pendidikan dan Penyedaran Masyarakat (Power) Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri G.Palanivel, Pengerusi Power Malaysia Mohana Muniandy dan Koordinator Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohd Zin Mohamed.
Bagi memperkasa wanita kaum India ke tahap tinggi, Rosmah menyarankan supaya pihak NGO menganjurkan program khas untuk mereka berkecimpung dalam bidang perniagaan.
"Dalam hal ini, saya memuji tindakan dan usaha Power Malaysia yang telah melatih 300 wanita dalam pelbagai bidang kemahiran yang mana sekarang mereka telah memulakan perniagaan kecil-kecilan secara sendiri.
"Saya difahamkan mereka telahpun mendapat latihan serta kursus dalam bidang jahitan, kecantikan, refleksologi serta didedahkan dengan pelbagai seminar seperti bidang teknologi maklumat dan komunikasi, pengurusan pejabat serta telah mengadakan jalinan strategik dengan agensi seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM)," katanya.
Selain itu, beliau berkata NGO perlu berkolaborasi dengan agensi kerajaan yang berkaitan terutama dalam hal melibatkan ibu tunggal, golongan kurang upaya dan kanak-kanak. Katanya, mereka juga perlu meneroka bidang kerjasama dengan pihak lain bagi mendapat sokongan pembiayaan untuk memulakan perniagaan.
No comments:
Post a Comment