Tindakan menyekat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dipercayai memburukkan lagi imej Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Naib Presiden PAS Mahfuz Omar.
"Berikutan tindakan ganas kerajaannya terhadap rakyat yang berhimpun secara aman dalam himpunan Bersih 3.0 28 April lalu, populariti (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) merudum selepas kajian juga menunjukkan 92 peratus dari rakyat yang ditanya mahu daftar pengundi dibersihkan.
"Bila populariti Najib merudum, tergesa-gesa (Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri) Hishammuddin (Tun Hussein) umumkan bahawa rakaman visual versi kerajaan Umno sudah siap sepenuhnya dan telah disahkan sumbernya serta akan dimuat naik ke laman web kementerian.
"Bila tiba masanya, tiba-tiba dia umumkan pula rakaman itu tidak jadi disiarkan. Mungkin tak sempat edit ikut selera mereka agaknya," kata beliau.
Dalam keadaan Umno Barisan Nasional (BN) dilihat tidak henti-henti melakukan tindakan salah demi tindakan salah selepas Bersih 3.0 lalu, tindakan menyekat pinjaman PTPTN itu dilihat oleh Mahfuz sebagai kesilapan terburuk kerajaan pimpinan Najib.
"Tindalan itu paling memburukkan imej kerajaan Najib. "Tindakan menyekat pinjaman PTPTN itu dipercayai menyebabkan populariti Najib semakin merudum.
"Ia sangat menyakitkan hati orang-orang Melayu dan terima kasih kepada (Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed) Khaled Nordin yang umumkan sekatan itu dan (Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) yang terang-terang menyokong sekatan itu," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Tindakan itu, kata Mahfuz, menguatkan lagi azam rakyat untuk tidak memberikan undi dan kuasa kepada Umno dan BN yang terbukti sesuka hati menyalahgunakan kuasa.
"Apa yang menarik, semua itu berlaku ketika Himpunan Hijau menuju Putrajaya membuktikan bahawa sokongan orang-orang Melayu kepada PAS bukan sahaja tidak berubah malah semakin bertambah," katanya.
Bagi Mahfuz, himpunan tersebut bukan sahaja suatu motivasi kepada ahli-ahli PAS untuk melipatgandakan usaha menghadapi pilihan raya umum akan datang, malah ia jelas menghantar mesej yang jelas yang menjadikan para pemimpin Umno tidak tentu arah.
"Sebab itulah mereka marah-marah, mengeluarkan kata-kata yang bukan-bukan, mencerca dan menidakkan kejayaan himpunan itu.
"Para pemimpin Umno tahu, mereka tidak boleh mengharapkan undi kaum Cina, sebab itulah sokongan orang-orang Melayu yang ternyata begitu hebat kepada PAS itu amat menggerunkan mereka," katanya. Mahfuz melihat, sekatan pinjaman PTPTN itu adalah sebahagian dari manifestasi sikap tidak tentu arah Umno itu.
No comments:
Post a Comment