Ibrahim Ali mahu pertahan kerusi Pasir Mas atas tiket apa?

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali mengesahkan akan bertanding mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-13, namun enggan mengulas tiket yang akan digunakan.

Beliau berkata, ia terpulang kepada dirinya sendiri sama ada mahu menerima tawaran daripada mana-mana parti.

Pada 2008, Ibrahim bertanding atas tiket Pas.

"Bertanding di PRU ini tidak kira parti ke tidak parti ke, kalau kita mahu bertanding kita boleh bertanding, jadi tiada masalah. Saya bertanding atas tiket apa itu soal lain.

"Ia terpulang kepada saya, ini strategi saya, bila sampai masa nanti baru saya beritahu. Cuma kalau panjang umur, tubuh badan sihat, atas kehendak rakyat Pasir Mas, saya akan pertahankan posisi saya sebagai Ahli Parlimen," kata beliau yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Beliau dalam sidang media sama turut menyatakan pendapat berhubung tarikh PRU13, yang mana katanya dijangka berlangsung bulan depan iaitu sebelum bulan Ramadan.

"Ia boleh berlaku dalam tempoh dua hingga tiga minggu dari sekarang , ada yang kata September, November malah tahun hadapan, tetapi saya kata Julai, sebelum puasa.

"Saya tidak tolak kemungkinan kerana itu kerana saya punya kiraan biasanya selepas Dewan Rakyat dibubarkan, ia mengambil masa dua minggu untuk SPR membuat persediaan sebelum PRU, tidak semestinya dibuat pada musim cuti sekolah, Jadi, saya jangka ia boleh berlangsung pada tarikh 15 atau 16 Julai," katanya tidak menolak spekulasi yang dibuat antara lain sebagai motivasi kepada semua parti yang akan bertanding.

No comments:

Post a Comment