Pembangkang dialu-alukan untuk menyerang Johor. Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin bagaimanapun mengingatkan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) supaya mereka bersiap sedia untuk menghadapi keadaan "yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran."
"Itu saja yang saya boleh kata. Mereka nak serang, seranglah... kita tak boleh larang. Tetapi saya yakin, rakyat Johor tak akan beri ruang kepada pembangkang. Tak mungkin mereka dapat terima parti yang pemimpinnya secara terang-terangan menghina sultan mereka," katanya.
Khairy berkata, beliau amat memahami bahawa isu yang dicetuskan pemimpin Pas, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkaitan harga bidaan nombor plat kereta Sultan Johor baru-baru ini teramat sensitif bagi rakyat negeri itu, malahan juga di seluruh negara.
"Kita tahu rakyat Johor sangat sayangkan sultan dan keluarga diraja mereka. Orang Pas boleh cakap saja tetapi kita percaya, ia tak akan ke mana. Kalau mereka kata nak serang, tsunami selatan atau apa saja, cakaplah ... Yang mungkin berlaku, Johor mereka tak dapat, terlepas pula negeri lain yang mereka perintah sekarang," katanya.
Khairy mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali bahawa PR kini sudah bersiap sedia untuk mengambil alih pemerintahan di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan dalam misi yang digelar 'Tsunami Selatan'.
Antara lain, kesediaan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Kelantan untuk bertanding di Johor disifatkan sebagai bukti keyakinan pembangkang untuk menawan negeri itu yang selama ini dianggap deposit tetap bagi Barisan Nasional (BN). Salahuddin disebut-sebut akan dilantik sebagai Menteri Besar Johor jika PR berjaya mengambil alih pemerintahan negeri itu.
Sementara itu, Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkata, pembangkang hanya mampu berangan-angan untuk merampas Johor, sedangkan pemimpin mereka sendiri mencetuskan pelbagai masalah di negeri itu.
"Sebelum ini, pemimpin DAP menyebut Johor negeri yang banyak jenayah dan masalah sosial sedangkan perkara sebegitu tidak pernah berlaku dan polis negeri sentiasa menjalankan tugas mereka dengan baik.
"Baru-baru ini, pemimpin Pas pula sindir Sultan Johor dalam isu nombor plat. Pemimpin PKR pula tidak habis-habis dengan isu peribadi yang jelas menunjukkan mereka tidak layak mentadbir Johor dan negara ini," katanya.
Sehubungan itu, beliau yakin BN akan terus mempertahankan Johor kerana tanggungjawab diberikan selama ini digalas dengan baik. "Mereka boleh kata apa sahaja. BN sudah menjalankan gerak kerja dengan baik dan tidak mudah melepaskan Johor kepada mereka," katanya yang juga Ahli Parlimen Pontian.
No comments:
Post a Comment