Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) menyokong cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemelah, Datuk Ayub Rahmat untuk menjadikan Johor sebagai negeri pertama melaksanakan hukum hudud di Malaysia.
Presidennya, A Rahman Mahadi berkata, negeri ini terkenal dengan wujudnya Sekolah Agama Rakyat di merata-rata daerah, namun pihaknya menganggap soal hukum hudud sebagai subjek yang tercicir.
“Majoriti semua orang Islam tahu Malaysia sendiri merupakan sebuah negara Islam dan Islam merupakan satu-satunya agama yang disebut dengan namanya yang jelas di dalam Perlembagaan Persekutuan. Signifikannya kita tahu apa yang dikandung oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Maka kita juga perlu tahu secara terperinci sebagai sebuah negara Islam dan mengaku sebagai orang Islam, segala perintah yang terkandung dalam kitab suci al-Quran perlu dilaksanakan sebagai sesuatu tuntutan wajib dari ALLAH, sekali gus janganlah dipertikaikan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.
A Rahman berkata, PPPMM berpendapat berdasarkan wahyu syiar Islam dan ajarannya, hukum hudud ini perlu diperjelas dan diserlahkan tanpa dibayangi oleh mana-mana fahaman politik.
Menurutnya, sebagai umat Islam menjadi kewajaran untuk sama-sama mengukuhkan pengetahuan dan ilmu mengenai syariat Islam supaya prinsip dan formula yang terkandung dalam al-Quran tidak tercicir.
“Pastikan ia tidak tercicir kerana ia merupakan elemen penting yang tidak perlu dipertikaikan.
“Berusahalah untuk tidak mempersendakan soal hudud malah berusahalah menutup pusat-pusat maksiat yang sentiasa menggalakkan lagi budaya maksiat yang kian menular dalam masyarakat dengan pelbagai program tidak sihat serta menjauhkan orang Islam dengan agama,” katanya.
A Rahman berkata, hukum hudud bukanlah soal Pas atau Umno, sebaliknya ia merupakan perintah ALLAH dan perkara ini perlu dibincangkan oleh semua umat Islam berhubung cara pelaksanaannya.
“Berhentilah bertelagah demi menjaga maruah agama supaya ia tidak tercemar dan ditertawakan oleh agama lain,” katanya.
No comments:
Post a Comment