PAS ganti UMNO bukan mustahil

Masyarakat terutama pemimpin Umno tidak seharusnya ambil mudah dan memperkecilkan slogan ‘Pas ganti Umno’ kerana tidak mustahil ia terlaksana berdasarkan sambutan hangat daripada golongan muda ketika ini.

Pengamal undang-undang, Mohd Harris Abdullah berkata, ketika ini kebanyakan pemimpin Umno mengatakan Pas tidak layak menggantikan parti itu dengan alasan Pas tidak dominan dalam PR.

Menurutnya, tanggapan itu ternyata salah kerana slogan ‘Pas ganti Umno’ tidak semestinya dalam pentadbiran negara semata-mata. “Sekiranya dikupas slogan itu, sebenarnya maksud pelaksanaan lebih luas daripada apa diperkatakan pemimpin Umno.

“Kini dengan kehadiran lebih ramai golongan profesional dalam Pas, slogan itu boleh jadi kenyataan berdasarkan gabungan golongan ilmuwan dan cerdik pandai dalam merangka keseluruhan pentadbiran baru,” katanya.

Mohd Harris berkata, ‘Pas ganti Umno’ juga adalah pentas untuk memperjuangkan agama Islam dan secara tidak langsung memperjuangkan bangsa memandangkan lazimnya masyarakat Melayu beragama Islam. Katanya, perbezaan perjuangan Pas dan Umno amat jelas menerusi program berlangsung di Putrajaya serta Perhimpunan Hijau di Alor Setar, baru-baru ini.

“Jika Himpunan Jutaan Belia dihidangkan dengan pelbagai aktiviti tidak membina martabat bangsa, sebaliknya Perhimpunan Hijau pula mengajak belia menghayati kupasan menarik daripada ceramah agama dan beberapa pengisian program keagamaan.

“Dari sudut ini sahaja, pasti slogan ‘Pas ganti Umno’ adalah tepat untuk membina kembali kesedaran memperjuangkan agama Islam di negara ini,” katanya. Beliau berkata, slogan itu tidak seharusnya dipandang remeh kerana ia bukanlah retorik, sebaliknya mampu menggoncang Umno dari akar umbi.

No comments:

Post a Comment