Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Haron hanya ketawa apabila ditanya sama ada benar beliau merupakan antara individu yang disebut-sebut sebagai pengganti Datuk Seri Mohd Ali Rustam sebagai ketua menteri Melaka.
"Mana ada...," katanya yang menambah perkara itu tidak benar kerana sesiapa sahaja di bawah kepimpinan Mohd Ali layak menjadi pengganti.
"Semua pemimpin yang ada dalam kepimpinan boleh ganti. Datuk Seri yakin dengan kesemua pemimpin yang dilantik dan dididik," katanya sambil diselang seli dengan ketawa.
Idris, 45, antara nama yang disebut-sebut untuk mengisi jawatan tersebut, susulan kenyataan Mohd Ali untuk beralih ke kerajaan persekutuan.
Dalam temubual bersama akhbar berbahasa Inggeris The New Sunday Times Ahad lalu, Mohd Ali menyatakan beliau berhasrat sedemikian sekiranya diizinkan perdana menteri.
Turut dijangka sebagai pengganti Ali ialah seorang veteran politik Umno Melaka, Datuk Abu Seman Yusop, yang kini merupakan timbalan menteri dalam negeri dan juga seorang exco kerajaan negeri Melaka, Datuk Ghafar Atan.
PM ada kriteria sendiri
Perkara itu dinyatakan Speaker DUN Melaka Datuk Othman Muhamad ketika ditanya mengenai nama-nama yang layak untuk menggantikan Mohd Ali.
"Ada beberapa nama yang disebut. Antaranya Datuk Idris Haron, Datuk Abu Seman Yusop dan Datuk Ghafar Atan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Jelasnya, beliau menjangkakan demikian kerana ketiga-tiga nama berkenaan merupakan ketua Umno bahagian.
Idris mengetuai Umno bahagian Tangga Batu dan Abu Seman serta Ghafar masing-masing merupakan ketua bahagian Masjid Tanah dan Alor Gajah.
"Yang ini semua orang dalam Umno yang sebut, bukan PM yang pilih. PM ada kriteria dia yang sendiri.
"Biasanya yang jadi ketua menteri ini ketua bahagian tapi ada juga bukan ketua bahagian yang dipilih," katanya lagi.
Harap Ali terus pantau
Othman yang berpengalaman berkhidmat selama 18 tahun dengan bekas ketua menteri Melaka, Tun Ghafar Baba berkata, langkah untuk mencari pemimpin yang bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugas untuk jawatan tersebut adalah satu perkara yang sukar.
"Itu yang jadi orang Melaka serba salah. Kita serba salah nak lepaskan Datuk Ali. Nak tak nak, untuk memastikan masa depan lebih baik. Susah nak cari pengganti dengan apa yang dia dah buat," katanya yang berpendapat standard kerja Mohd Ali setanding dengan Ghafar Baba.
"Saya bekerja dengan Tun Ghafar Baba 18 tahun. Saya rasa Datuk Ali mentadbir selama 12 tahun macam bekerja 20 tahun. Dia memang kuat bekerja. Keluar pagi, balik pagi," kata Othman.
Katanya lagi, walaupun berat untuk melepaskan Mohd Ali (kiri), beliau berharap agar penggantinya akan dapat bekerja sekuat ADUN Bukit Baru itu.
"Kalau (Datuk Seri) Najib (Abdul Razak) perlu juga (Mohd Ali), kita kena lepaskan. Cuma harapan, pengganti dia nanti dapat buat 70 peratus kerja macam Datuk Ali.
"Kalau nak (pemimpin) 100 peratus (seperti Mohd Ali) memang tak dapat. Tapi kalau boleh 70 peratus cara dia bekerja.
"Saya juga berharap agar walaupun Datuk Ali sudah berada di kerajaan persekutuan, beliau masih lagi memantau keadaan politik di Melaka dalam jangka masa tertentu," kata Othman lagi.
No comments:
Post a Comment