Susulan sesi perbincangan yang diadakan kepimpinan Pakatan Rakyat dan Pemuda Umno awal minggu ini, Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli hari ini mempelawa Khairy Jamaluddin berdebat dengannya berkaitan isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Rafizi berkata, beliau mempelawa Ketua Pemuda Umno itu berdebat mengenai isu semasa ini selepas pelawaan berkaitan isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) awal tahun ini tidak menjadi kenyataan.
Menurut Rafizi, cabaran ini dibuat berikutan kenyataan Khairy yang dibuat melalui laman Twitter kelmarin bahawa penghapusan PTPTN adalah sesuatu yang boleh dilakukan, tetapi persoalannya adakah ia wajar.
“Saya telah membentangkan bahawa hutang PTPTN hanyalah RM24.7 bilion dan boleh dibayar dalam tempoh yang lama. Pelaburan yang diperlukan hanyalah RM2 bilion setahun dan pelbagai sumber boleh digunakan bagi tujuan ini, termasuklah mensyaratkan pelaburan dari keuntungan hasil minyak dan gas ke dalam bidang pendidikan, memotong perbelanjaan pertahanan, membanteras rasuah, menghentikan ketirisan serta pembaziran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“PKR dan Pemuda Umno sudah mengadakan perbincangan tertutup dengan pihak-pihak terbabit untuk memahami isu ini dengan lebih baik.
“Sudah tiba masanya, hasil dan pandangan yang berbeza dari kedua-dua belah pihak diketengahkan untuk dibahaskan di hadapan rakyat,” katanya.
Pada Selasa dan Rabu lalu, Umno dan PKR mengadakan perbincangan meja bulat serentak mengenai PTPTN.
Hasil resolusi Rudningan Meja Bulat, Umno menggariskan 11 cadangan termasuk dari aspek pembayaran balik hendaklah mula dibuat apabila peminjam telah berkhidmat melebihi enam bulan atau telah mempunyai pendapatan RM3,000 ke atas yang mana terkemudian bagi menjamin tempoh kelegaan peminjam.
Rafizi berkata, adalah penting untuk mengkaji semula kerangka sistem pendidikan tinggi di Malaysia dan PKR mengesyorkan supaya model pendidikan percuma yang meletakkan tanggungjawab menyediakan kemudahan pendidikan tinggi di bahu kerajaan.
Katanya, tempat-tempat pendidikan tinggi disediakan oleh pihak swasta dan sebuah dana yang besar untuk dipinjamkan kepada rakyat bagi tujuan pendidikan perlu dikurangkan.
Tambahnya, isu hala tuju sistem pendidikan tinggi negara dan penghapusan hutang PTPTN adalah isu penting yang wajib diperhalusi dan didalami.
Sehubungan itu, Rafizi mengesyorkan Khairy mengotakan janjinya untuk berdebat dengannya ketika skandal NFC memuncakdan kesediaan itu dinyatakan sekali lagi Khairy selepas mereka berdebat buat kali pertama di London akhir Januari lalu.
“Demi kepentingan orang muda, saya juga mengesyorkan isu debat itu diganti dari skandal NFC kepada persoalan PTPTN dan hala tuju sistem pendidikan negara.
“Saya percaya Khairy seorang yang rasional dan faham bahawa debat ini ditunggu-tunggu oleh rakyat,” katanya.
No comments:
Post a Comment