Parti KITA di kedah umum 4 calon pada PRU-13

Teka-teki mengenai calon yang akan mewakili Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) di Kedah terjawab apabila empat calon diumumkan bakal bertanding di tiga Dun dan satu parlimen pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Mereka ialah Kamal Naseer Thow Beek yang akan bertanding di kerusi Dun Bukit Selambau, Cherean a/l Isen (Dun Sungai Tiang), Ong Choon Seng (Dun Gurun) dan Suhaimi Hashim akan mencuba nasib di bahagian Parlimen Sungai Petani.
Ketuanya, Datuk Zaid Ibrahim berkata, jumlah calon bertanding tidak penting asalkan mereka mampu memikul tanggungjawab mengubah politik negara.

Beliau berkata, masa kini mereka belum boleh memberi jumlah sebenar yang akan bertanding dalam PRU13 kerana masih meneliti calon lain yang tidak ada masalah, mampu memberi khidmat kepada masyarakat serta mempunyai rekod baik.

“Kita tidak ada sasaran mengenai jumlah calon bertanding namun mempunyai jawatankuasa untuk memantau calon. Jika ada calon sesuai, kemungkinan lebih ramai akan dipilih.

“Sehingga kini, kita umum empat calon dahulu di Kedah. Kalau ada tambahan kita akan umum lagi,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis ramah mesra dengan Ketua Parti Kita di sini, hari ini.

Zaid berkata, ia juga akan meletakkan beberapa calon di Sabah, Johor, Wilayah Persekutuan, termasuk di Kota Bharu, Kelantan. “Negeri lain kemungkinan ada kecuali Sarawak, Terengganu dan Perlis kerana parti Kita tiada ada cawangan di sana.

“Kita sentiasa memastikan pemimpin yang mewakili Parti Kita bersih dari sebarang skandal, mempunyai kualiti untuk menjadi teladan kepada anak muda dalam memberi khidmat kepada masyarakat,” katanya.

Menurutnya, matlamat utama Kita adalah untuk memberi penjelasan dan pendidikan kepada masyarakat dalam menyedarkan mereka supaya memilih calon yang ikhlas dalam memperjuangkan hak rakyat.

“Parti Kita mudah, kita tidak ada presiden, naib presiden, yang ada cuma ketua. Jika orang tidak suka saya jadi ketua mereka boleh pilih orang lain, tiada ada masalah dalam soal kepimpinan ini. “Jika masuk parti ini, kena hormat perlembagaan yang ditetapkan. Jika tidak suka boleh tubuh parti lain, tiada masalah,” katanya.

No comments:

Post a Comment