Menurut Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Muhamad Safwan Anang@Talib, insiden diserang sekumpulan samseng kira-kira pukul 2.45 pagi tadi tidak akan melemahkan semangat mahasiswa menuntut jawapan daripada pentadbiran Najib.
Jelas beliau, kempen yang sudah masuk hari ke-enam hari ini akan diteruskan sehingga 28 April ini. “Kita anggap apa yang berlaku pagi tadi di luar jangkaan, kalau kami dilarang untuk berhimpun tentu kami akan ditangkap polis... mengapa samseng kacau kami? Itu kami pelik dan kecewa.
“Kami tidak buat salah, kalau buat salah kami akan ditangkap, polis dan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) juga tidak ambil tindakan ke atas kami,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Kumpulan mahasiswa yang menggelarkan diri sebagai “Occupy Dataran” diserang kira-kira 60 dan 70 individu tidak dikenali dan berpakaian serba hitam. Mesej mengenai serangan itu disebarkan menerusi laman sosial Facebook dan Twitter.
Rakaman video insiden itu telah dimuatnaik di laman web YouTube, menunjukkan kumpulan “samseng” berlegar-legar di kawasan perkhemahan. “Tapi penggunaan samseng sangat mengecewakan kami, kami sanggup bertahan demi masa depan negara, kami sanggup bertahan dan rela dicederakan demi masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang,” kata Safwan.
Beliau juga menyifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak memandang berat tuntutan mahasiswa itu. “Kami anggap kerajaan sudah ketepikan hal ini, kami akan tetap teruskan dan kalau ada konsert diadakan pada 28 April kami akan beri laluan... kami tiada masalah, cuma apa yang kami mahu pihak bertanggungjawab terutamanya perdana menteri ambil berat.
“Apa resolusi daripada kerajaan? Setakat ini masih tiada apa-apa tindakan,” katanya. Kumpulan mahasiswa itu telah membuat laporan polis. The Malaysian Insider difahamkan Unit Amal PAS akan membantu mengawal kempen anjuran mahasiswa itu.
Sementara itu Pengerusi Malaysia Bangkit Mohd Syahid Mohd Zaini berkata kerajaan perlu memberikan jawapan positif dengan segera mengenai desakan agar PTPTN dimansuhkan. “Kita akan tunggu dan teruskan berhimpun, kita minta respons positif daripada kerajaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment