Kempen 'Jom Sertai Bersih 3.0' oleh PAS WP

PAS Wilayah Persekutuan (PAS WP) menyambut baik pengumuman kerajaan untuk membenarkan Perhimpunan Bersih 3.0 yang akan diadakan pada 28 April 2012 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur bermula jam 2.0 petang.

Bagi PAS WP, kerajaan mungkin menyedari bahawa impak Bersih 3.0 akan lebih besar kepada kerajaan sekiranya kerajaan melarang perhimpunan tersebut sebagaimana yang dibuat terhadap Bersih 2.0 tahun lalu.

Kerajaan juga menyedari bahawa Perhimpunan Bersih 3.0 nanti adalah perhimpunan aman yang dihadiri oleh segenap lapisan rakyat tanpa mengira bangsa, warna kulit mahupun agama. Bersih 3.0 bukan sebuah perhimpunan ganas, atau perhimpunan haram seperti dakwaan mereka sebelum ini.

Bersih 3.0 diadakan sebagai manifestasi kemarahan rakyat ekoran kegagalan kerajaan membersihkan sistem pilihanraya di Malaysia. Peluang yang diberi rakyat kepada kerajaan untuk membersihkan sistem pilihanraya gagal dimanfaatkan sebaik mungkin. Meskipun kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi menambahbaikan sistem pilihanraya di Malaysia, namun ia masih belum mampu memuaskan hati rakyat.

Terlalu banyak kepincangan dikesan dalam sistem pilihanraya termasuk kesemua tuntutan Bersih 2.0 tidak ditunaikan kecuali penggunaan dakwat kekal. Terbaru, pendedahan Datuk Haji Mahfuz Omar bahawa terdapat skandal task force pemberian kad pengenalan kepada warga asing oleh beberapa pegawai tinggi kerajaan termasuk pegawai tinggi JPN dan Pegawai Khas Perdana Menteri membuktikan bahawa Perhimpunan Bersih 3.0 wajib diadakan.

Sehubungan itu, PAS WP bersedia mengerahkan seluruh ahli dan penyokong untuk turut hadir memeriahkan Bersih 3.0. Dijangkakan seramai 10,000 ahli dan penyokong PAS di setiap kawasan akan hadir ke perhimpunan tersebut. PAS WP juga akan menggerakkan kempen dengan sebaran risalah, poster, kain rentang bagi mengajak rakyat untuk turut hadir bersama-sama. Disamping itu, medium melalui media baru akan diperkasakan untuk menarik perhatian jutaan penggunanya supaya tidak turut ketinggalan.

PAS WP yakin, dengan kesedaran rakyat khususnya di Wilayah Persekutuan, sasaran seramai 500,000 akan berjaya dicapai yang sebahagian pesertanya adalah penduduk sekitar Lembah Klang. Ini juga sebagai momentum kepada rakyat agar bangkit mendesak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan kerajaan Malaysia memastikan perjalanan pilihanraya di Malaysia benar-benar berlagsung dalam keadaan bersih, telus dan adil.

MOHAMAD SUHAIMI BIN ABDUL AZIZ
Ketua Penerangan
PAS Wilayah Persekutuan

No comments:

Post a Comment