Jelajah Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) ke seluruh negara berkenaan BERSIH 3.0 menapak ke kubu kuat Datuk Ahmad Maslan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, di Pekan Parit Betak, Benut, dekat sini.
Program yang diberi nama Pidato Anak Muda itu turut menampilkan beberapa tokoh daripada golongan itu seperti Adam Adli, Shazni Munir (GAMIS), Syed Omar (NGO Anak Muda), Faisal Ariffin Mohd Kassim (ANAK) termasuklah Che Gu Bard sendiri
Difahamkan, program tersebut bertujuan untuk memastikan himpunan BERSIH 3.0 berjalan tersusun, aman dan mencapai matlamat.
Selain itu, peluang dibuka sama kepada anak muda untuk berkongsi pentas dalam menyuarakan kekecewaan terhadap urus tadbir negara yang dikepalai UMNO.
Sementara itu, Faisal Arifin Mohd Kassim, Setiausaha Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) yang diberikan peluang memulakan ucapan telah mendedahkan penyelewengan kerajaan UMNO terhadap warga Felda sehingga golongan ini terpedaya dengan muslihat mereka.
Sebagai contoh katanya lagi, Di Felda Cahaya Baru sewaktu Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Menteri Besar Johor, para peneroka telah ditawarkan sejumlah RM1,3 juta dengan harapan dapat menjual tanah milik mereka atas alasan pembangunan.
”Kerana terpedaya dengan jaminan RM1.3 juta, RM100,000 dibayar sebagai umpan. Lepas itu senyap !. Adakah taat dan setia orang Melayu kepada UMNO berbaloi?,” soalnya lagi.
Dalam pada itu, Shazni Munir, bekas Timbalan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) pula mempersoalkan dimanakah kewajarannya pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjadi pertikaian pemimpin UMNO.
Sedangkan katanya, keuntungan dari Petronas sudah terlalu cukup untuk berbuat demikian.
”Sebagai contoh. Zakat Petronas sudah ada dua zakat. Pertama, zakat perniagaan. Kedua, hasil bumi. Itupun Petronas bayar ke tidak. Tak bayar jawablah depan Tuhan.
”Apabila ia diasing-asing kepada asnaf (golongan yang layak menerima zakat), pelajar adalah salah satunya. Jadi duit ini boleh dihalalkan. Ini sebenarnya kerajaan UMNO takut,” katanya lagi.
Pada majlis yang sama, sasterawan muda Amni Jagat turut beraksi dengan mendeklamasikan sajak yang bertajuk ‘Tanah Maruah Rakyat’ dan pelancaran tandatangan menuntut kerajaan UMNO Johor mengadakan jalan alternatif antara Pekan Tampok ke Parit Betak telah dibuat.
Tinjauan mendapati, kira-kira 50 anggota Komrad SAMM negeri ini turut hadir bagi menyatakan sokongan kepada penganjuran program tersebut dan pertemuan tertutup telah diadakan sejurus majlis itu selesai.
Hadir sama, M Subramaniam, Ketua Penerangan, Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Johor, Ustaz Atan Gombang, Penyelia, Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Benut.
No comments:
Post a Comment