Nizar dan isteri bermotosikal lawat mangsa banjir

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin semalam hanya menaiki motosikal melawat mangsa banjir di selatan Lembah Kinta.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu bergegas ke tempat kejadian bersama isterinya Datin Seri Fatimah Taat dan anggota Unit Amal PAS selepas mendapat maklumat awal jam 5 pagi semalam.

Dalam kejadian semalam kira-kira 254 keluarga dari sekitar Kuala Dipang, Kampar dipindahkan ke pusat pemindahan banjir apabila rumah mereka dinaiki air sejak jam 4 pagi.

Paras air naik sehingga ke paras bumbung dan disifatkan penduduk sebagai banjir terburuk sejak 30 tahun lalu.

Di antara kawasan terjejas teruk termasuklah Kampung Kuala Dipang, Kampung Pasir, Kampung Baru Kuala Dipang dan Kampung Nyior.

Kejadian tersebut didakwa berpunca limpahan air Sungai Kampar akibat hujan lebat sejak tengah malam semalam dan diburukkan lagi dengan kejadian dua tembok sungai yang pecah.

Dalam pada itu selain membantu mangsa berpindah, Mohammad Nizar juga sempat memasak untuk mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan.

Ketika ditemui, Nizar yang juga bekas menteri besar Perak mahu kerajaan negeri melalui Majlis Keselamatan Negeri menyalurkan bantuan sewajarnya kepada mangsa yang kebanyakannya tinggal sehelai sepinggang.

Beliau juga turut meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membaiki segera tebing sungai yang pecah bagi mengelak masalah banjir menjadi lebih serius.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan aktiviti pembalakan haram dan pembukaan hutan secara berleluasa menjadi penyebab banjir besar berlaku hanya dalam tempoh dua jam selepas hujan lebat pada malamnya.

Beliau selaku timbalan pesuruhjaya PAS negeri juga turut mengarahkan jabatan amal PAS kawasan Kampar dan kawasan berdekatan untuk membantu mangsa terutamanya penyediaan makanan, pakaian dan tempat perlindungan sementara.

No comments:

Post a Comment