Jangan uji kesetiaan saya kata Ku Li

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang sebelum ini dilihat mencetuskan kontroversi susulan kenyataan-kenyataan tidak selari dengan kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN), mengingatkan agar mana-mana pihak tidak menguji kesetiaannya kepada parti.

Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, kekuatan prinsip dan keyakinan dalam parti menyebabkan beliau tidak pernah kalah dalam pilihan raya yang disertainya sebelum ini.

“Macam-macam pendapat orang berikan terhadap saya, namun saya yakin dengan (kesetiaan), itu menyebabkan setakat hari ini saya tidak pernah kalah (pilihan raya).

"Saya yakin kepada rakyat dan parti, tak perlu bercakap soal ini, saya lebih lama dalam Umno, dalam soal setia tak setia, itu kena tanya di akhirat nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi ahli panel Bicara Perjuangan dan Pelancaran Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) di Kelantan Trade Centre malam semalam. Turut hadir pada majlis itu ialah bekas pemimpin Pemuda Umno Kelantan, Dr Zaiyadi Awang Noh.

Terdahulu dalam wacana tersebut, Ku Li yang juga Ketua Umno Gua Musang meminta rakyat menghormati pendirian untuk bersama BN walaupun mendapat desakan penonton yang memintanya menyertai Pakatan Rakyat.

Ku Li sebelum ini menyokong tuntutan royalti minyak Kerajaan Kelantan yang disifatkannya hak negeri berdasarkan perjanjian yang dibuatnya ketika menjadi Pengerusi Petronas.

Mengulas isu tersebut, Ku Li berkata, beliau tiada hak untuk menghalang Pas menggunakan isu royalti minyak untuk kepentingan parti, sebaliknya apa yang diperjuangkannya adalah hak Kerajaan Negeri yang berlandaskan undang-undang.



“Kalau Pas ambil kesempatan dengan isu minyak itu, dia punya hal, saya hanya terangkan apakah saya buat semasa Petronas (ditubuhkan) 1974 , saya yang turun berunding dengan Kerajaan Negeri, saya kata kalau serah hak minyak kepada Petronas, saya akan bagi lima peratus (royalti).



“Soalnya mengapa tak bagi kerana dah ada perjanjian, itu hak Kerajaan Negeri dan dibuat kontrak yang mudah, setiap perjanjian kena tunai, apa guna buat perjanjian kalau tidak ditunaikan,” katanya.

Mengulas penyenaraian Felda Global Venture Holdings (FGVH) di Bursa Saham, Ku Li yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, beliau menyokong cadangan tersebut tetapi bimbang sekiranya tiada pengawalan yang menyebabkan pemilik saham akan mengalami kerugian.

“Jika di waktu harga saham untung tiada masalah, tetapi ada masanya saham ini akan jatuh, apabila itu terjadi peneroka yang membeli saham dengan banyak tidak mampu berbuat apa-apa lagi, ketika itu mereka tinggal sehelai sepinggang sahaja,” katanya.

Dalam pada Ku Li turut menafikan mengeluarkan kenyataan di sebuah televisyen yang mendakwa beliau tetap akan bertanding sebagai calon Bebas sekiranya tidak dicalonkan Barisan Nasional di Parlimen Gua Musang.

No comments:

Post a Comment