Mansuh semua akta tindas rakyat kata Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan Akta Kesalahan Keselamatan yang menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), tetapi mahu Kerajaan Pusat memansuhkan kesemua undang-undang dan peraturan yang dilihat memindas hak dan kebebasan rakyat.

Ketua Pembangkang berkata, apa yang dilakukan oleh pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya satu permulaan kepada masa depan kebebasan dan perlindungan hak rakyat yang lebih baik.

"Ini hanya satu permulaan," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

"Najib perlu memansuhkan baki undang-undang yang masih menindas rakyat dan ada banyak lagi undang-undang yang sedemikian.

"Saya dan Pakatan Rakyat mahu (Najib) meneruskan usaha dari sini dan memansuh atau meminda kesemua undang-undang yang menindas (rakyat), antara lain (undang-undang) berkaitan dengan pengawalan penerbitan dan percetakan, penyertaan pelajar dalam politik, kesatuan sekerja, perhimpunan dan (hak) pengundian (dari luar negara)," kata beliau lagi.

Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) berkata sementara pihaknya menyambut baik langkah Najib tetapi was-was dengan rang undang-undang baru yang dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali pertama.

"Kami berkongsi pendirian Majlis Peguam sebagaimana disebutkan dalam memorandum mereka bertarikh 19 Julai 2010.

"Majlis Peguam mengulangi pendirian mereka hari ini. Saya juga berkongsi pandangan mereka," kata beliau lagi.

No comments:

Post a Comment