Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) menganggarkan tidak kurang 50,000 ahli dari seluruh Malaysia akan menyertai Bersih 3.0 di Dataran Merdeka, 28 April ini bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil.
Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusuf (gambar) berkata, DMPP mensasarkan 1,000 orang bagi setiap Dun dan surat pemberitahuan telah dikeluarkan oleh pusat ke setiap negeri dan kawasan.
"DMPP mengarahkan seluruh ahli dan jentera kita di peringkat cawangan, kawasan dan negeri untuk turun ke Bersih 3.0 dan DMPP mensasarkan 1,000 orang setiap Dun.
"Kerahan ini sudah diselaraskan mengikut negeri dan surat pun sudah dikeluarkan," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Rantau Panjang itu juga, terserah kepada setiap negeri untuk mengatur perjalanan ahli-ahlinya pada hari tersebut.
"Mekanisme perjalanan dan pergerakan terpulang kepada setiap negeri tapi DMPP menggalakkan mereka yang hadir berpakaian mengikut warna tema iaitu kuning. Katanya lagi, DMPP juga giat mempromosikan program tersebut melalui media baru seperti facebook, twitter, blog dan medium ceramah ke setiap kawasan.
"DMPP memang sentiasa mewarwarkan Bersih 3.0 di laman sosial dan saya sendiri pun setiap kali ceramah sakan menyebut mengenai kepentinagn muslimat menyertai Bersih 3.0," katanya.
Justeru beliau berharap muslimat dapat bersama-sama badan bukan kerajaan (NGO) lain bagi menunjukkan solidariti terhadap tuntutan rakyat. "DMPP berharap gelombang muslimat dapat menyemarakkan lagi perjuangan menuntut pilihan raya yang bersih dan adil walaupuin mendapat pelbagai tentangan," katanya.
No comments:
Post a Comment