Tiada masalah lawan timbalan menteri kata Salahuddin Ayub

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata beliau masih lagi menimbang untuk bertanding di salah satu daripada empat kerusi parlimen di Johor termasuk Batu Pahat - kawasan yang dimenangi Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Ahli parlimen Kubang Kerian itu bagaimanapun menegaskan tidak mempunyai masalah bertemu Puad di gelanggangnya itu kerana mendakwa mempunyai akar umbi ekoran memulakan karier politiknya di situ.

Salahuddin bagaimanapun berkata, beliau memerlukan seminggu sebelum membuat keputusan muktamadnya, termasuk turut menimbangkan kesesuaiannya di Pulai, Tanjong Piai dan Pontian.

"Tunggulah, saya tak ada masalah bertanding di Batu Pahat. Saya mempunyai akar umbi di situ. Saya (pernah) tinggal di sana selama 15 tahun dan memulakan karier politik saya di Batu Pahat.

"Jadi kalau saya rasa dalam masa seminggu ini, (kalau) saya benar sesuai untuk bertanding di Batu Pahat, maka saya akan bertanding di Batu Pahat. (Jadi) tunggu kehadiran saya," katanya dalam temuramah dengan Malaysiakini pada Isnin.

Puad sebelum ini mencabar Salahuddin bertanding di Parlimennya dalam pilihan raya umum akan datang selepas membuat keputusan berentap di Johor pada kali ini.

Puad juga dilapor mengalu-alukan Salahuddin kembali ke Johor walaupun yakin pemimpin parti Islam itu "tidak akan berjaya" kali ini.

No comments:

Post a Comment