Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad berkata pihak yang menentang penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia lebih bermotifkan politik daripada kepentingan ekonomi serta masa depan Felda dan peneroka tanah rancangan itu.
Beliau berkata mereka ini hanya pandai mengkritik dan menentang setiap usaha baik yang dilakukan kerajaan dan tidak melihat dari aspek positifnya.
"Sepatutnya mereka bagi cadangan yang lebih baik dari segi ekonomi untuk kebaikan Felda dan peneroka, tapi kini mereka hanya menentang semata-mata untuk kepentingan politik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Sembilan (DPMMNS) kali ke-38 di sini, hari ini.
Turut hadir Yang Dipertua DPMMNS Datuk Ahmad Yusof. Mohd Isa berkata langkah penyenaraian FGVH itu adalah untuk membolehkan Felda dapat bersaing di peringkat global sebagai suatu syarikat yang mampu
menguruskan ladang dengan lebih mapan dan akhirnya membantu meningkatkan taraf sosioekonomi peneroka.
Selain itu juga, katanya FGVH perlu menguasai dan meluaskan lagi aktiviti ekonomi terutama mengeluarkan pelbagai produk hiliran berasaskan kelapa sawit seperti dalam bidang produk makanan, biodesel dan sebagainya.
"Kita kena fikirkan sebarang kemungkinan serta kesannya pada masa depan jika bahan komoditi itu jatuh dan melalui pembabitan dalam industri hiliran, sudah tentu membolehkan Felda dapat terus bergerak ke hadapan," katanya.
Katanya usaha penyenaraian itu akan tetap dilaksanakan dan proses mengenainya kini berjalan lancar dan sudah berada di peringkat akhir untuk disenaraikan menjelang Mei atau Jun ini.
Katanya penyenaraian itu adalah satu langkah supaya Felda terus kukuh dan kuat mendepani cabaran dunia nyata perniagaan global.
No comments:
Post a Comment