Perkasa tak sertai Bersih 3.0

Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa) tidak akan mengambil bahagian dalam himpunan Bersih 3.0 di Dataran Merdeka, 28 April ini.

Setiausaha Perkasa, Syed Hassan Syed Ali berkata, pendirian itu jelas dan Perkasa tidak akan sertai perhimpunan itu mahupun menganjurkan perhimpunan yang sama meskipun perhimpunan Bersih 3.0 telah dibenarkan pihak berkuasa di bawah Akta Perhimpunan Aman 2011.

Sebelum ini, Perkasa juga turut sama mengadakan perhimpunan sewaktu Bersih 2.0 yang berlangsung 9 Julai 2011, dengan berhimpun di Taman Tasik Titiwangsa.

Bagaimanapun, Syed Hassan menyeru rakyat supaya bijak membuat keputusan untuk menyertainya.

Rabu lalu Pengerusi Bersih, Datuk S Ambiga mengumumkan bahawa perhimpunan Bersih 3.0 akan diadakan dengan slogan “Duduk Bantah” di Dataran Merdeka.

Pengumuman itu dibuat sehari selepas laporan akhir Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi Penambahbaikan Proses Pilihan Raya diluluskan oleh Dewan Rakyat.

No comments:

Post a Comment