Anwar tidak layak debat dengan Perdana Menteri kata SU Badan Perhubungan UMNO


Ketua Umum Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan individu yang layak berdebat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Hasim Rusdi berkata, saranan debat melibatkan kedua-dua individu terbabit tidak perlu dilayan kerana tidak memberikan faedah mahupun kebaikan kepada negara.

“Saya nak tanya pembangkang, debat itu untuk apa? Tujuan apa? Kalau bertujuan memalukan, mempertikaikan dan menjatuhkan maruah sebelah pihak, lebih baik ia tidak dilaksanakan. Jika debat digunakan sebagai platform menegakkan siapa benar dan siapa salah, ia bukan debat dan hanya akan mendatangkan kerugian sahaja,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, Anwar bukan tandingan Najib untuk berdebat.

“Anwar bukan ‘standard’ Perdana Menteri, malah jauh ke belakang. Pemikiran beliau yang tidak tetap akan mendatangkan aib kepada beliau sendiri jika masih berkeras mahu berdebat. Lebih eloklah Anwar bermuhasabah diri dan memikirkan kesalahan kepada agama, bangsa dan negara serta segera bertaubat,” katanya.

Kelmarin, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mengulangi cabaran Ketua Umumnya, Anwar agar Najib berdebat dengan beliau berhubung dasar dan program kerajaan dan Pakatan Rakyat (PR).

Anwar telah mengemukakan cabaran berdebat kepada Najib tahun lalu dan syor itu muncul kembali susulan debat antara pemimpin kanan MCA dan DAP bulan lalu.

Baru-baru ini, Najib berkata, beliau sanggup berdebat tetapi hanya dengan pihak yang mempunyai fikiran munasabah.

No comments:

Post a Comment