Manifesto pembangkang tidak masuk akal kata ADUN UMNO

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telemong, Rozi Mamat menganggap manifesto pembangkang memberi bekalan air percuma bagi 20 meter pertama kepada pengguna domestik adalah helah yang tidak masuk akal.

Rozi yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu mengingatkan pembangkang, agar tidak bercakap kosong kerana beliau percaya apa yang dijanjikan seperti di dalam manifesto yang tergantung di bahu-bahu jalan adalah mustahil untuk dilaksanakan.

“Macam mana hendak beri air percuma, semua yang bekerja di dalam syarikat itu perlu dibayar gaji, lainlah kalau mahu menggunakan air sungai, memang ia percuma.

“Mari ramai-ramai bawa baldi pergi ke sungai dan ambillah seberapa banyak air sekali pun kerana ia memang percuma dan tidak perlu dibayar,” katanya.

Dalam nada berseloroh itu, Rozi yang sudah lama bersama kepimpinan Barisan Nasional (BN) dapat menduga helah itu sebenarnya adalah bagi mengaburi mata rakyat terutamanya golongan warga emas yang tinggal di kawasan pedalaman.

Oleh itu, beliau berharap supaya rakyat bijak dalam membuat keputusan dan penilaian serta mengingat kembali apa yang berlaku sewaktu pembangkang memerintah.

No comments:

Post a Comment