Umno tidak faham konsep

Pas Selangor menegaskan Umno masih lagi tidak memahami konsep janji syurga yang sering dibawa parti itu, kerana Umno masih membezakan agama dengan politik.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Rani Osman berkata, janji itu bukan rasuah politik seperti didakwa Ahli Parlimen Kota Belut, Datuk Abdul Rahman Dahlan, kelmarin.

Menurutnya, janji syurga merangkumi pelbagai aspek kehidupan umat Islam.

“Umno sejak dahulu lagi tidak faham konsep dibawa Pas, mereka membezakan perkara lain dengan agama.

“Walhal, minum air atau makan nasi lemak pun, mempunyai kaitan janji syurga, apatah lagi jika membabitkan mengundi pemimpin yang tidak zalim dan rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Abdul Rahman yang mendakwa, rasuah politik yang paling tertinggi, yang patut dikutuk adalah parti politik yang menjanjikan syurgajika pengundi memberi sokongan kepada mereka dalam pilihan raya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Khalid Abdul Samad pula menegaskan Pas akan tetap meneruskan kaedah tersebut untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-13 kerana ia bukannya rasuah politik dan tidak bercanggah dengan agama Islam.

Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, rakyat perlu mengetahui latar belakang calon yang akan dipilih menjadi wakil rakyat mereka, sama ada baik atau sebaliknya.

“Jika pengundi salah memilih calon yang zalim dan rasuah mereka tidak mendapat ganjaran syurga,” katanya.

Kelmarin, Abdul Rahman berkata, Pakatan Rakyat (PR) sering menuduh BN memberi rasuah apabila dikatakan sering menjanjikan sesuatu sebagai ganti kepada undi.

Wakil rakyat dari Umno itu berkata, pemimpin PR selalu terlupa mereka juga menjanjikan pelbagai perkara umpama ‘memberi bulan dan bintang’ sehingga janji itu sukar dilaksanakan.

No comments:

Post a Comment