Kerajaan Kelantan akan terus mengabadikan nama tokoh dalam bidang tertentu di negeri ini, untuk dijadikan contoh atau ikon kepada generasi baru yang bakal mewarisi kepimpinan negara.
Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata sejak mengambil alih teraju pentadbiran negeri itu pada 1990, beberapa nama tokoh diabadikan pada nama jalan atau tempat di negeri ini.
"Selain memberi penghormatan kepada tokoh berkenaan, langkah itu juga dapat memberi pengetahuan dan sejarah kepada generasi muda mengenai peranan yang dimainkan oleh tokoh tersebut kepada masyarakat terdahulu, malah dapat mengangkat martabat dan jasa mereka kepada negara," katanya pada majlis ulang tahun ke-75 jubli intan Sekolah Menengah Maahad Muhammadi Perempuan, di sini hari ini.
Pada majlis itu, beliau dianugerahi Tokoh Jubli Intan sempena sambutan ulang tahun ke-75 sekolah agama itu.
Nik Abdul Aziz berkata, beberapa tempat ditukar dengan nama baru, seperti Pasar Pusat Buluh Kubu ditukar kepada Pasar Besar Siti Khadijah sebagai mengenang tokoh usahawan wanita di zaman Rasulullah S.A.W, Jalan Hospital kepada Jalan Abdul Kadir Adabi dan Jalan Pekeliling kepada Jalan Long Yunus dan Jambatan Tok Kenali.
Beliau kesal kerana ada pihak yang mempersendakan cadangan supaya Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) menamakan sebatang jalan di kawasan pihak berkuasa tempatan itu sebagai Jalan Tok Guru, kononnya untuk mengaitkan namanya sebagai pemimpin kerajaan negeri itu.
Katanya nama tok guru sebenarnya bukannya untuk mengaitkan nama beliau tetapi sebagai suatu penghormatan kepada guru agama di negeri ini yang banyak memberi sumbangan melahirkan ramai cendekiawan Islam di nusantara, sehingga Kelantan digelar sebagai serambi Mekah.
Dalam perkembangan lain, Persatuan Bekas Pelajar sekolah itu memungut lebih RM200,000 sumbangan bagi membina masjid di perkarangan sekolah menengah tersebut yang kos keseluruhan bernilai RM3 juta.
Majlis perletakan batu asas pembinaan masjid itu akan disempurnakan Sultan Kelantan Sultan Mohammad V, esok.
No comments:
Post a Comment