Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Kerajaan Negeri tidak pernah menghalang sebarang program berbentuk hiburan diadakan di negeri ini asalkan ia tidak bercanggah dengan syariat Islam.
Menurutnya, Islam juga tidak menghalang ia diadakan kerana apa yang penting adalah pengisian yang ada padanya.
”Ini kerana agama kita membenarkan umatnya mencari hiburan kerana ia selaras dengan fitrah kehidupan manusia yang suka berhibur,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Pesta Air Tok Bali di sini, semalam.
Pesta tersebut dirasmikan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang turut dihadiri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaacob, Adun Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim sebagai tuan rumah dan ramai lagi.
Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, sebelum ini sudah banyak program berbentuk hiburan yang diadakan di negeri ini seperti Jom Heboh TV3, Sua Rasa TV9, Hari Hiburan Islam dan bermacam-macam lagi.
Bagaimanapun katanya, acara tersebut dipantau oleh Kerajaan Negeri agar ia sentiasa mengikut peraturan yang ditetapkan seperti golongan wanitanya menutup aurat, bersopan dan tidak melalaikan sehingga mendorong kepada kegiatan maksiat.
Sementara itu mengenai pesta air tersebut, beliau berkata, Tok Bali akan menjadi satu produk pelancongan yang menarik dan dapat membantu Kelantan mencapai sasaran pelancong seramai 6 juta pada Tahun Melawat Kelantan 2012.
”Acara yang diadakan seperti pertunjukan lumba perahu, jet ski, pertandingan ratu kuda serta bermacam-macam lagi acara lain dapat menarik orang ramai ke sini terutama mereka dari negeri jiran seperti Terengganu,” katanya.
Beliau berkata, tidak mustahil suatu hari nanti pesta air tersebut akan menjadi acara tahun yang dapat melonjakkan Tok Bali sebagai sebuah bandar baru pelancongan bertaraf dunia.
No comments:
Post a Comment