Pas cabar Hassan Ali lawan Nik Aziz
Pas Kelantan mencabar Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr Hasan Mohamed Ali agar bertanding di negeri itu sekiranya beliau benar-benar yakin parti ini akan jatuh dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Penolong Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin berkata, seandainya Hasan berani, beliau sendiri boleh menjadi calon dan mencabar kedudukan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang memimpin Kelantan sejak 20 tahun lagi. “Jika Hasan berani dan merasakan dia mempunyai sokongan yang boleh memberi kemenangan kepadanya di Kelantan, kita mengalu-alukannya,” katanya ketika ditemui di sini selepas merasmikan Pesta Air Kelantan sempena TMK 2012 di Lembah Sireh, semalam.
Takiyuddin berkata, sepatutnya Hasan tidak boleh mengeluarkan pendapat Pas Kelantan akan hilang kuasa di negeri ini sekiranya terus kekal bersama dengan DAP dan PKR.
Mengulas mengenai kenyataan Hasan yang mendakwa wujud parasit dalam Pas, beliau berkata, isu ditimbulkannya itu menjadi ‘back fire’ kepada dirinya sendiri.
“Bagi saya parasit ini membawa maksud tumpang. Seseorang yang berada dalam parti perlu bergantung kepada organisasi terbabit untuk dikenali semua pihak dan bukannya boleh berdiri sendiri tanpa sokongan pihak lain.
"Saya juga bergantung kepada Pas, jika sebaliknya tiada ada siapa yang mengenali saya dan demikian juga dalam Umno tidak ada yang akan terkenal tanpa menumpang dengan parti mereka sendiri,” katanya.
Takiyuddin juga mendakwa Hasan takut dirinya dilabelkan sebagai parasit dan disebabkan perkara itu beliau sanggup bertindak lebih berani daripada partinya.
“Hasan juga tidak boleh menerima asam garam dalam politik, orang politik suatu hari dia akan berada di atas dan juga boleh berada di bawah serta menjadi orang biasa. Jadi kita tidak boleh memberontak sekiranya kita tidak dilantik atas sebab-sebab tertentu,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment