PAS Johor sasar menang 17 kerusi

PAS Johor mensasarkan sekurang-kurangnya 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk dimenangi pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Mazlan Aliman (gambar) berkata, sasaran itu ditetapkan berdasarkan perubahan positif rakyat negeri itu yang kini menyambut baik Pakatan Rakyat khususnya PAS yang disifatkan 'tidak pernah berlaku sebelum ini'.

Menurutnya, melihat mood positif rakyat, beliau bukan sahaja yakin PAS boleh menang di kerusi sasaran itu, malah Pakatan Rakyat secara keseluruhan juga tidak mustahil akan menerajui negeri itu.

"Kita (PAS) kini sedang fokus kepada 17 Dun sasar.

"Mungkin orang kata saya bermimpi, atau angan-angan, tapi dengan sambutan kepada kita pada waktu ini, saya yakin kejutan akan berlaku, Johor mungkin jatuh kepada Pakatan Rakyat," katanya kepada Harakahdaily.

Pada PRU ke-12 lalu, PAS bertanding 39 daripada keseluruhan 56 kerusi, manakala PKR dan DAP masing-masing 9 dan 12 kerusi.

Dari jumlah ditandingi itu itu PAS hanya menang di dua kerusi iaitu di Dun Maharani dan Sungai Abong.

Menurut Mazlan lagi, perbezaan ketara sokongan rakyat Johor terhadap Pakatan rakyat berbanding 2008 boleh dilihat dengan sambutan terhadap program-program mereka di negeri itu sejak kebelakangan ini.
Sambutan luar biasa itu katanya, telah menyebabkan ada pihak 'tak senang duduk' sehingga mengupah kumpulan tertentu mengganggu dan membuat kecoh khususnya di ceramah-ceramah anjuran mereka.

No comments:

Post a Comment