Beberapa anggota Parlimen kerajaan hari ini menggesa pembangkang agar mencontohi langkah Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berundur daripada jawatan Menteri, meskipun belum terbukti terlibat dengan skandal Perbadanan Fidlot Nasional (NFCorp).
Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi melabelkan pengunduran Shahrizat itu sebagai bermaruah, tidak seperti pembangkang yang terus-menerus mempertahankan anggotanya walaupun terpalit dalam beberapa isu.
"Saya harap pembangkang juga ambil sikap yang sama. Seperti kes Elizabeth Wong (Exco kerajaan negeri Selangor yang terpalit isu penyebaran gambar bogelnya), saya berani sebut, dah terbukti...tetapi kenapa masih pertahankan?
"Tetapi kerajaan BN (Barisan Nasional) buktikan bahawa anggotanya lebih berani, telus, bermaruah dan bermoral. Saya harap rakyat lihat ini sebagai pembaharuan yang dibuat oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak),"
katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini.
Beliau diminta mengulas pengumuman Shahrizat untuk berundur sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat apabila tempoh pelantikannya sebagai Senator Dewan Negara tamat pada 8 April ini, tetapi menafikan ia mempunyai kaitan dengan skandal NFCorp.
Mohd Puad yang juga Anggota Parlimen Batu Pahat berkata keputusan Shahrizat itu tepat dan amat dinantikan, serta telah meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan BN yang dipimpin Perdana Menteri.
Anggota Majlis Tertinggi Umno itu menambah pengunduran Shahrizat sebagai menteri tidak akan mengganggu jentera BN bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata beliau akan memberikan sokongan penuh terhadap pimpinan Shahrizat sebagai Ketua Wanita Umno serta Ketua Wanita BN dan tidak kisah apa yang dikatakan pembangkang mengenai keputusan pengunduran tersebut.
"Apa yang penting...pemimpin kita (Shahrizat sudah) buat keputusan ...sekarang saya nak tengok berapa ramai daripada pembangkang yang telah didedahkan dengan tuduhan macam-macam, sanggup lakukan seperti Shahrizat lakukan semalam," kata Anggota Parlimen Sembrong itu.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata Shahrizat dengan rela hati berundur meskipun skandal NFCorp masih dalam siasatan kerana tidak mahu mengheret sama kerajaan dalam isu tersebut.
Anggota Parlimen Tanjong Karang itu berkata: "Inilah beza keikhlasan pemimpin Barisan Nasional dengan pemimpin pembangkang. Ada pemimpin pembangkang yang telah didakwa di mahkamah pun masih enggan meletak jawatan dan terdapat satu kes di Selangor melibatkan seorang Exco yang ingin meletakkan jawatan ekoran sesuatu isu, namun kerajaan negeri hanya bagi cuti dan apabila cuti habis, terus jadi Exco semula.
"Di sini rakyat boleh lihat sikap yang diambil pemimpin BN...kita lihat dalam BN walau mana-mana pegawai dan ahli Parlimen atau ketua bahagian terlibat dalam sesuatu isu, mereka akan digantung daripada jawatan...ia menunjukkan apa yang berlaku membabitkan kes peribadi perlu diuruskan sendiri kerana ia merupakan integriti seorang pemimpin sebenar," katanya.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin pula berkata walaupun sedih namun beliau menghormati keputusan Shahrizat untuk berundur.
Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata pengunduran Shahrizat tidak akan menjejaskan gerak kerja kerajaan mahupun parti.
"Saya tidak menjangkakan begitu, kerana BN mempunyai mekanisme di mana dia (pemimpin) bukan seorang, pemimpin boleh datang dan pergi tapi jentera kerajaan tetap berfungsi, kementerian itu tetap ada tak kira siapa menteri," katanya.
Anggota Parlimen Ayer Hitam itu turut berpandangan bahawa dalam hal itu, jawatan dalam kerajaan dan parti adalah berbeza dan boleh dipisahkan.
Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata rakyat sendiri perlu menilai tindakan yang dilakukan oleh Shahrizat.
Beliau bagaimanapun menyifatkan pengunduran Shahrizat itu tidak ikhlas dan tidak dilakukan sepenuh hati.
"Jika anda (Shahrizat) mahu berundur kenapa anda tidak berundur sekarang, kenapa tunggu sehingga 8 April, dan lagi satu kenapa beliau turut memegang jawatan Ketua Wanita Umno, sama ada anda letak semua jawatan atau anda tidak letak jawatan langsung," katanya.
No comments:
Post a Comment