Azmin dakwa Hasan Ali salah guna dana

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali hari ini mendedahkan tiga perkara, didakwa menyalahgunakan dana dan kedudukan, membabitkan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali (Bebas-Gombak Setia) ketika menjadi Exco Selangor.

Adun Bukit Antarabangsa itu berkata, Hasan menggunakan peruntukan untuk baik pulih pejabat Exco membabitkan kos RM300,000 sedangkan Tan Sri Abdul Khalid selaku Menteri Besar tidak menggunakan satu sen pun untuk ubah suai pejabat.

Selain itu, Azmin juga mempersoalkan tindakan Hasan melaksanakan program Padat yang disifatkan sebagai satu pembaziran di mana program tersebut membabitkan perbelanjaan RM546,920 untuk satu majlis sahaja.

Hasan juga didakwa menyuburkan proses pemberian tender secara terus walaupun cuba dikekang Abdul Khalid.

Bagaimanapun beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) mempertikaikan dakwaan Azmin berhubung salah guna peruntukan kewangan oleh Hasan, yang kini bertindak sebagai Adun Bebas, ketika memegang jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri.

Datuk Subahan Kamal (BN-Taman Templer), Yap Ee Wah (BN-Sungai Pelek) dan Sulaiman Razak (BN-Permatang) yang tidak berpuas hati dengan dakwaan berkenaan, bangun mencelah ketika Azmin membahaskan titah Sultan Selangor pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor, hari ini.

Azmin ketika memberikan penjelasan kepada ketiga-tiga Adun dan Dewan berasa hairan kenapa BN beria-ria mempertahankan bekas Pesuruhanjaya Pas Selangor yang tidak hadir pada sidang Dun hari ini.

Ketika yang ditemui di luar dewan berkata, mereka tidak terkejut dengan pendedahan Azmin memandangkan ia dipertikaikan selepas Hasan tidak lagi menjadi Exco Kerajaan Negeri Selangor dan dipecat dari Pas.

Penyalahgunaan dana yang didedahkan Ahli Parlimen Gombak itu pernah dibangkitkan oleh Adun BN pada sidang Dun sebelum ini, namun tidak dipersoalkan dan diberi perhatian oleh mana-mana Adun Pakatan Rakyat (PR) memandangkan Hasan masih berada dalam PR.

Hasan dipecat oleh Pas awal Januari lalu dan disusuli dengan pengguguran beliau dari barisan Exco Kerajaan Negeri.

No comments:

Post a Comment