Saya boleh tanding kata Khalid Ibrahim

Peluang Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk bertanding semula di Dewan Undangan Negeri (Dun) Ijok tidak akan terjejas walaupun kawasan mengundi beliau ditukar ke kawasan Lembah Pantai.

Abdul Khalid berkata, seseorang calon yang bertanding pada pilihan raya akan dipilih menerusi alamat dalam MyKad dan bukannya kawasan mengundi.

Menurutnya, beliau mengambil serius tersebut (pertukaran kawasan mengundi) dan akan meminta Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menjelaskan perkara tersebut kepada Kerajaan Negeri.

“Ia dipilih berdasarkan alamat dalam kad pengenalan dan alamat kad pengenalan saya adalah di Pasir Tuntong, Kuala Selangor.

“Tetapi, sama ada isu ini menjejaskan kedudukan saya bertanding di Ijok, isu itu tidak timbul,” katanya ketika ditemui media, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada beliau akan mengambil tindakan susulan setelah mendapati kawasan mengundi telah ditukar.

Abdul Khalid memberitahu, beliau telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohamad Khusrin Munawi untuk menjemput Abdul Aziz hadir ke Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri bagi menerangkan apa yang sedang berlaku dalam daftar pemilih.

“Kita ingin mengetahui bagaimana perkara ini berlaku termasuk sama ada pengundi yang diubah akan diberitahu dan bagaimana SPR tentukan mereka bersetuju atau tidak,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kawasan mengundi bagi menteri besar telah ditukar tanpa pengetahuannya, dan perkara itu dapat buktikan menerusi carian di lamanweb SPR.

Difahamkan, Abdul Khalid tidak membuat sebarang perubahan pada kawasan mengundinya atau dalam kad pengenalannya.

Dalam daftar pemilih tersebut, kawasan mengundi Abdul Khalid disenaraikan sebagai Rumah Kakitangan Universiti di bawah daerah mengundi Universiti.

Bagaimanapun, beliau sebelum ini sememangnya mengundi di kawasan Parlimen Petaling Jaya Selatan.

No comments:

Post a Comment