Azizan nafi tertekan kerana krisis Pas Kedah

Krisis Pas Kedah dianggap masih belum selesai ekoran majlis mengangkat sumpah jawatan dua Exco belum dibuat, walaupun sudah hampir dua minggu pengumuman oleh Pas Pusat agar Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh dilantik semula.

Sumber berkata, bagaimana pun, atas beberapa faktor teknikal, majlis masih belum diadakan kerana menunggu tarikh sesuai daripada pihak Istana.

Rentetan daripada krisis yang meletus beberapa minggu sebelum pelantikan Exco Kerajaan Negeri pada 28 Februari, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak terpaksa berdepan dengan pelbagai karenah dalam menyelesaikan kemelut, yang akhirnya menyaksikan kedua-dua Timbalan Pesuruhjayanya kekal jawatan dalam parti mahupun pentadbiran.

Namun ada yang mendakwa Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah mengalami tekanan amat hebat apabila dua orang kanannya seolah dilihat cuba menikam belakang.

Malah ada yang menyifatkan Azizan kini hilang selera makan hingga susut berat badan ekoran menanggung tekanan politik yang melanda Pas Kedah.

Ada juga menyifatkan Azizan kini di ambang kejatuhan karier politiknya apabila Pas Pusat mula mengambil alih keputusan yang sepatutnya dibuat oleh beliau selaku Menteri Besar mahupun Pesuruhjaya Pas negeri.

Namun Azizan ketika dihubungi semalam, tidak melatah dengan pelbagai andaian yang dilemparkan terhadapnya satu persatu sejak beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pada 29 Julai 2011.

“Masih ada pihak yang menyokong saya dan saya akan bertahan selagi khidmat saya diperlukan,” katanya.

Mengulas mengenai berat badannya yang dilihat semakin susut sejak krisis Pas Kedah melanda, Azizan sebaliknya berkata, ia bukan disebabkan tekanan politik mahupun kerja yang dialaminya, tetapi lebih kepada nasihat doktor untuk mengawal tahap kesihatannya.

No comments:

Post a Comment