Barisan Nasional (BN) yakin akan merampas semula Parlimen Telok Kemang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13)
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dasar sedia ada yang digubal Kerajaan Negeri untuk menyejahterakan rakyat mampu meyakinkan mereka terhadap kerajaan pimpinan BN.
“Walaupun Parlimen Telok Kemang kalah pada 2008, saya yakin dan percaya BN akan merampas semula parlimen dan beberapa kerusi yang telah tewas sebelum ini.
“Meskipun ada beberapa kesilapan yang kita pernah buat, kita akan perbetulkannya dengan persediaan rapi untuk menghadapi PRU13 sebagai isyarat akan merampas semula kerusi yang kalah pada 2008,” katanya pada Majlis Penyerahan Rumah Mampu Milik Berkualiti di Taman Intan Duyung, di sini, semalam, sempena lawatan kerja sehari Perdana Menteri ke Negeri Sembilan.
Mohamad berkata, rakyat tidak perlu terpengaruh dengan dakyah dan fitnah yang dilemparkan pembangkang kepada kerajaan.
“Mereka hanya pandai mengutuk, malah setiap program kebajikan yang memberi manfaat kepada semua turut dijadikan isu bagi mengaburi rakyat.
“Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BRIM) juga dikatakan mereka sebagai bantuan rasuah. Dakwaan mereka tidak betul dan saya hairan mengapa mereka sanggup berkata demikian dan membuat fitnah terhadap usaha baik kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Mohamad berkata, kerajaan telah mensubsidi RM10,000 bagi setiap unit rumah kos rendah yang dibina di Taman Intan Duyung untuk penduduk berpendapatan rendah.
“Sebanyak 70 unit rumah kos rendah berkeluasan 1,100 kaki persegi telah siap dibina dan akan dijual secara ‘cabut undi’ berikutan permintaan tinggi daripada masyarakat setempat.
“Rumah tiga bilik ini pada asalnya berharga RM52,000 namun kerajaan memberi subsidi sebanyak RM10,000 yang membolehkan ia dijual dengan harga RM42, 000 seunit,” katanya.
No comments:
Post a Comment