Wanita Umno ikrar sokong padu PM dan BN kata Shahrizat

Pergerakan Wanita Umno berikrar memberikan sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang akan diadakan dalam masa terdekat sebagaimana dibayangkan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua pergerakan itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata kaum wanita amat menghargai kestabilan politik, perpaduan kaum dan pembangunan ekonomi yang sentiasa menjadi perhatian kepimpinan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno.

"Saya yakin bahawa pengundi wanita untuk PRU-13 akan bagi sokongan yang hebat kepada Perdana Menteri dan kepimpinan beliau.

"Isu-isu wanita mendapat pembelaan yang tiada tolok bandingannya kerana semuanya diambil tahu," kata Shahrizat kepada pemberita selepas menghadiri Hari Keluarga 1Malaysia Peringkat Negeri Melaka 2012 yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam, di Dataran Sejarah di sini, hari ini.

Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata tiada sebab untuk kaum wanita terutamanya Wanita Umno tidak menyokong kepimpinan Najib.

Shahrizat berkata beliau akan bertemu dengan ketua-ketua wanita Umno negeri untuk mendapatkan senarai nama calon PRU13 dalam masa terdekat.

"Ini merupakan pertemuan terakhir untuk mendapatkan senarai nama calon yang sebenarnya sebelum dikemukakan kepada Perdana Menteri," katanya.

Mengenai pertambahan calon wanita Umno pada PRU13, beliau berkata inilah yang diharapkan namun masih belum dapat diputuskan.

Sementara itu, Mohd Ali selaku Pengerusi Badan Perhubungan BN Melaka yakin BN akan memenangi majoriti dua pertiga daripada kerusi yang dipertandingkan pada PRU13.

Beliau berkata Umno negeri sedang menyiapkan senarai calon seperti yang diminta oleh Perdana Menteri.

No comments:

Post a Comment