Saya bukan calon Menteri Besar kata Hadi Awang

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan beliau bukanlah calon Menteri Besar Terengganu sekiranya Pakatan Rakyat (PR) berjaya menawan negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Menurutnya, beliau akan memberi laluan kepada muka-muka baru untuk menerajui kepimpinan negeri selain mendedahkan Pas sudah mengenalpasti beberapa calon berpotensi memegang jawatan itu.

“Apapun keputusan akhir terletak kepada pucuk pimpinan parti dan kita akan mengikut arahan,” katanya selepas merasmikan Himpunan Anak Terengganu di Perantauan (Perantau) di sini, semalam.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Abdul Hadi menyatakan mungkin tidak akan bertanding pada PRU13 berdasarkan kepada khidmatnya yang sudah terlalu lama menyandang jawatan Yang Berhormat.

Katanya, beliau tidak berhasrat bertanding pada PRU13 bagi memberi laluan kepada tenaga muda. Jikapun diperlukan beliau hanya akan bertanding satu kerusi.

Namun pada 2 Februari lalu, pucuk pimpinan Pas membuat ketetapan menolak hasrat Hadi tersebut kerana menyifatkan perkhidmatannya masih diperlukan.

Hadi pernah menjadi Menteri Besar Terengganu dari tahun 1999 hingga 2004 selepas Pas merampas negeri itu dari Barisan Nasional (BN). Beliau sekarang adalah Ahli Parlimen Marang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rhu Redang.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Abdul Wahid Endut mengumumkan Saiful Bahri Mamat sebagai calon Dewan Undangan Negeri (Dun) Paka, untuk PRU13 yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Abdul Wahid berkata, persiapan menentukan siapa calon perlu diteliti sebaiknya supaya pengundi boleh menerima calon tersebut.

“Yang pasti calon itu boleh menang, kita menang kerana semua orang undi. Calon mestilah diterima Melayu, Cina ataupun India,” katanya

No comments:

Post a Comment