Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keputusan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengundurkan diri sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, adalah satu keputusan yang tepat dan betul.
Datuk Seri Najib Tun razak berkata, tindakan itu adalah pengorbanan demi kepentingan parti dan kerajaan menghargainya.
“Walaupun tiada bukti kukuh beliau terbabit dalam isu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) yang banyak menimbulkan kontroversi tetapi beliau sanggup mengundurkan diri sebelum jawatannya sebagai senator berakhir 8 April depan,” kata beliau kepada pemberita sebelum menghadiri majlis tahlil Allahyarham Tun Abdul Razak di Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Najib berharap semua anggota Pergerakan Wanita terus menyokong Shahrizat sebagai pemimpin mereka.
Ketika ditanya mengenai menteri itu yang tidak meletakkan jawatan sebagai Ketua Wanita Umno akan digunakan pembangkang sebagai isu, Najib berkata, ia terpulang kepada pihak terbabit.
“Yang penting jawatan itu dipilih oleh ahli parti dan jawatan dalam kerajaan yang mengundang pertikaian dan kontroversi,” katanya.
Sementara itu, Najib turut memberitahu, pengumuman pengganti Shahrizat akan dilaksanakan kemudian kerana menurutnya masih ada banyak masa untuk membuat keputusan itu.
Shahrizat dalam sidang akhbarnya di Kuala Lumpur hari ini mengumumkan pengundurannya sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat apabila tempoh pelantikannya sebagai anggota Dewan Negara tamat pada 8 April ini.
Bagaimanapun, Shahrizat berkata beliau akan kekal sebagai Ketua Wanita Umno dan Ketua Wanita Barisan Nasional (BN).
No comments:
Post a Comment