Jawatan Shahrizat tak gugat BN kata Nong Chik

Ketua bahagian Umno Lembah Pantai Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yakin tindakan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk berundur daripada mengetuai portfolio kementerian pembangunan wanita tidak akan memberi kesan kepada prestasi khidmat BN di kawasan tersebut.

Menteri wilayah pesekutuan dan kesejahteraan bandar itu memberi alasan, BN tetap berkhidmat kepada masyarakat termasuk di kawasan yang dipimpin mereka di kawasan parlimen tersebut, walau apa jua isu yang timbul.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa keberkesanan khidmat itu hanya akan dapat dilihat dalam pilihan raya.

"Hanya dalam pilihan raya kita boleh tengok sekiranya mereka benar-benar sokong," katanya ketika ditemui di bangunan parlimen hari ini.

Ditanya lanjut sama ada peletakan jawatan Shahrizat akan memberi kesan kepada pengundi di kawasan Lembah Pantai yang dipimpin mereka, Raja Nong Chik berkata ia bukan hanya melibatkan kawasan berkenaan.

"Ia melibatkan semua kawasan, bukan sahaja Lembah Pantai. (Pengundi) janganlah buat keputusan berdasarkan satu kesilapan saja.

"Buatlah keputusan berdasarkan 10 atau 20 perkara baik yang telah dilakukan oleh BN," katanya lagi.

Shahrizat merupakan ketua wanita Umno Kepong sebelum bertanding dalam pilihan raya 1995 di kawasan Lembah Pantai dan mengekalkan kerusi berkenaan pada pilihan raya 1999.

Kerusi parlimen berkenaan bagaimanapun dirampas oleh Nurul Izzah Anwar daripada PKR pada pilihan raya 2008.

Raja Nong Chik berkata, peletakan jawatan oleh bekas MP kawasan itu tidak memberi apa-apa kesan kerana pengundi akan memilih berdasarkan khidmat yang ditunjukkan.

No comments:

Post a Comment