Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak petang ini menegaskan bahawa Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan kekal sebagai Ketua Wanita parti itu meskipun ada pihak dalam parti itu mahu beliau berundur.
Najib yang juga Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) mahu Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim, yang menggesa Shahrizat berundur sebagai ketua pergerakan itu dan pengkritik lain agar berganding dengan anggota Kabinet itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Beliau bercakap demikian kepada pemberita selepas taklimat pada Perhimpunan Wanita Umno di PWTC hari ini.
Najib berkata, pengunduran Shahrizat sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat adalah keputusan yang perlu dihormati.
"Shahrizat telah ambil tanggungjawab moral secara terhormat untuk lepaskan jawatan sebagai menteri biarpun tiada bukti berhubung dakwaan yang dikenakan ke atasnya sebelum ini.
"Jadi, berkenaan jawatan Ketua Wanita Umno, selagi tiada bukti, tiada sebab mengapa kita perlu suruh dia letak jawatan itu.
"Tambahan pula, jawatan itu dipilih oleh ahli," katanya.
Bercakap pada sidang media, Najib berkata, pertemua bersama kira-kira 8,000 ahli Wanita Umno hari ini, antara lain bagi memastikan seluruh Pergerakan Wanita bekerja keras untuk menghadapi PRU13.
"Kesemua yang hadir melahirkan kesanggupan untuk pastikan Barisan Nasional (BN) capai kemenangan dalam PRU nanti.
"Mereka juga berikrar untuk mendokong tanggungjawab sebagai ahli parti serta menyokong Shahrizat sebagai Ketua Wanita," katanya.
Pada 12 Mac lepas, suami Shahrizat, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua pertuduhan pecah amanah melibatkan RM49.7 juta berhubung pembelian dua unit kondominium serta dua lagi pertuduhan menyalahi Akta Syarikat.
Mengenai gesaan Kamilia supaya Shahrizat meletak jawatan demi menjaga kredibiliti parti, pergerakan wanita, BN dan kerajaan, Najib berkata, isu itu telah diselesaikan.
Perdana Menteri berkata beliau, Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bersemuka dengan kedua-dua pemimpin wanita itu di mana kedua-duanya berjanji untuk bekerjasama sebagai satu pasukan bagi meraih kemenangan buat Umno dan BN dalam pilihan raya akan datang.
Beliau berkata, Shahrizat dan Kamilia juga berjanji untuk turun padang bersama-sama pemimpin-pemimpin pergerakan wanita yang lain, bergerak sebagai satu unit kukuh dan jitu yang dapat menggalas tanggungjawab besar seperti
ditetapkan parti kepada pergerakan itu.
Najib berkata, tekad itu dapat dilihat menerusi ikrar yang dilafazkan semua anggota pergerakan itu pada perhimpunan di mana mereka sebulat suara menyatakan kesanggupan dan komitmen tinggi untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai kemenangan besar buat BN pada pilihan raya akan datang.
"Pengakuan yang Wanita Umno buat ialah untuk menyokong kepimpinan saya dan Muhyiddin dan mendukung tanggungjawab menjamin kemenangan yang besar untuk pilihan raya akan datang serta menyokong kepimpinan Shahrizat sebagai Ketua
Wanita Umno," katanya dipetik Bernama.
Beliau berkata di sebalik isu antara Kamilia dan Shahrizat, moral Wanita Umno masih berada pada tahap tertinggi, kuat dan kukuh sepertimana ikrar yang dilafazkan bahawa pergerakan itu bersama kedua-dua pemimpin tersebut akan turun padang dan bekerjasama sebagai satu pasukan.
"Kami akan memastikan mereka akan bekerjsama sebagai satu pasukan. Adalah penting bagi Wanita sebagai sayap parti ini utuh dan boleh berfungsi sepenuhnya serta bersungguh-sungguh," katanya.
Dalam pada itu, Kamilia pula berkata, beliau akan bekerjasama dengan Shahrizat demi memastikan kemenangan BN dalam PRU13.
Katanya, kenyataan sebelum ini hanya berdasarkan pada pandangan dan luahan dari akar umbi dan beliau hanya bertindak sebaga penyampai mesej.
Shahrizat baru-baru ini mengumumkan beliau akan melepaskan jawatan sebagai anggota Kabinet apabila tempoh khidmatnya sebagai anggota Dewan Negara berakhir 8 April ini.
No comments:
Post a Comment