Soi Lek bakal ganti Puad?

PKR mengalu-alukan kedatangan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek ke Parlimen Batu Pahat sekiranya bekas Menteri Kesihatan itu berhajat untuk merebut kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.

Kaitan Soi Lek dengan khabar angin merebut kerusi berkenaan timbul apabila beliau terlalu kerap dilihat di Batu Pahat menghadiri beberapa program penting berbanding sebelum ini, selain laporan berita daripada beberapa media baru.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Syed Hamid Syed Ali, berkata, sekiranya dakwaan itu benar, Umno terpaksa memberi laluan kepada MCA yang mana kerusi itu sekarang ini disandang Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi.

“Jika ini berlaku, ia mengesahkan pimpinan Umno di Johor dan di Batu Pahat sendiri sudah tidak yakin dengan kekuatan Umno dan gagal untuk memenangi hati kaum bukan Melayu.

“Pengundi bukan Melayu di Batu Pahat kini dilihat semakin meningkat dan saya percaya perubahan strategi yang dilakukan BN ini kerana mereka sudah tidak mampu untuk meletakkan UMNO di sini,” katanya pada satu sidang media khas di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Strategi PKR Pusat, Mohd Rafizi Ramli.

Katanya, tindakan yang dilakukan itu sebenarnya boleh melunturkan kedudukan Umno sebagai parti utama yang menjadi tunjang kepada Umno.

“Ia juga menunjukkan Umno bakal tumbang tidak lama lagi, kerana sudah mula tewas di tempat asal mereka iaitu di Batu Pahat.

“Tindakan yang dilakukan ini akan menguatkan lagi peluang PKR dan Pakatan Rakyat (PR) di Batu Pahat kerana kebanyakan warga Batu Pahat pasti akan terkenang kes yang berlaku kepada Soi Lek satu ketika dahulu,” katanya.

Katanya, sebahagian pengundi muda dan pengundi Cina di Batu Pahat ini tidak mudah terpengaruh dengan rekod beliau satu ketika dahulu.

“Saya percaya keputusan PRU-13 ini nanti ditentukan oleh pengundi muda di daerah ini, dan kebanyakan jentera PKR Batu Pahat terdiri daripada pengundi muda yang berusia di bawah 30 tahun.

“Semangat mereka untuk melakukan perubahan meluap-luap dan kebanyakannya mengambil pendirian konsisten perlunya ada reformasi serta perubahan yang menyeluruh dalam negara juga di Batu Pahat ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment